Author: Ahmad
•7:27 AM

Assalamualaikum w.r.t.
Apa khabar? Semoga luaran dan dalaman kita sentiasa sihat.

1432H

Perpindahan(hijrah) umat Islam dari Mekah ke Madinah adalah satu-satunya perpindahan secara beramai-ramai yang tidak menumpahkan darah walau setitik pun. Ini diperakui oleh pakar sejarah barat.

Alhamdulillah, kini kita sudah memasuki gerbang 1432 Hijrah. Ayuh sama-sama kita rujuk kembali sirah bagaimana kalendar hijrah diwujudkan. Kalendar hijrah wujud pada zaman khalifah Saidina Umar Al-Khattab dengan tujuan untuk memudahkan urusan serta bersih dari budaya Kristian. Kristian ketika itu telahpun menggunakan kalendar Masihi.

Wujud 3 cadangan peristiwa untuk menyandarkan kalendar Islam. Pertama, tahun kelahiran Rasulullah s.a.w, kedua peristiwa hijrah, ketiga Tahun Kesedihan yakni tahun di mana Isra' Mikraj berlaku. Cadangan pertama ditolak kerana mirip kepada Kristian yang menggunakan kelahiran Nabi Isa sebagai sandaran. Cadangan ketiga juga ditolak kerana semua umat Islam akan berasa sedih setiap kali memikirkannya. Cadangan yang paling sesuai adalah peristiwa hijrah, agar semua orang dapat mengambil manfaat dari mengingatinya.

Daripada sirah kalendar hijrah ini, ibrah yang kita boleh ambil ialah bagaimana Saidina Umar terfikir untuk buat kalendar hijrah. Beliau mahu Islam mempunyai agenda tersendiri dan juga mempunyai hak milik tersendiri serta tidak terikut dengan rentak agama lain. Umar tidak
mahu umat Islam menggunakan kalendar Masihi kerana Islam ini adalah 'izzah(mulia) dan tidak ada yang mulia selainnya. Maka layaklah Islam itu mempunyai hak milik tersendiri dan tidak perlu sandaran pada agama lain.

Hijrah Rasulullah juga banyak 'ibrah yang boleh diambil. Bagaimana strategi Rasulullah ketika hendak berhijrah bersama rakan setianya, Abu Bakar. Baginda merancang perjalanan dengan melalui laluan selatan. Ini kerana bahagian utara Mekah telah dijaga oleh quraisy. Perjalanan melalui selatan panjang berbanding laluan di utara. Baginda juga mengarahkan Saidina Ali untuk menggantikan tempat tidur baginda. Ketika hendak sampai di Gua Thur, baginda mendaki perlahan-lahan sambil menjengket kaki(berjalan dengan jari kaki) hingga kaki baginda melecet! Abu bakar terus mengangkat baginda dan meneruskan pendakian. Rasulullah tidak mahu meninggalkan jejak pada sekelilng Gua
Thur demi dakwah Islam. Baginda sampai di Madinah pada 12 Rabiulawal.

Ini semua adalah strategi Rasulullah. Tetapi, bukankah Allah telah mengatakan bahawa Dia akan menjaga Rasulullah dimana pun baginda berada? Andainya Rasulullah tidak membu
at strategi dan terus membuat keputusan untuk melalui jalan utara, tentu keselamatan baginda terjamin kerana Allah sentiasa menjaga baginda. Tetapi mengapa Rasulullah buat strategi?? Ini semua adalah untuk mengajar umatnya untuk melakukan strategi dan perancangan untuk membuat sesuatu keputusan. Kejayaan kita sangat berkaitan dengan sebab dan musabab.
"
Al- Haqqu bila nizhom yaghlubuhul baatil binnizhom" ( kebaikan tanpa organisasi akan dikalahkan oleh kejahatan yang berorganisasi) - Ali Abi Talib r.a

Ayuh sama-sama kita rancang dan buat strategi hijrah kita. Andainya hijrah kita tiada strategi, maka tiadalah asbab kemenangan. Bagi lepasan SPM terutamanya, perancangan anda sangat-sangat penting kerana ianya akan menunjukkan jalan yang anda lalui, bagaimana membentuk diri anda, bagaimana keadaan iman anda, bagaimana suasana kehidupan tanpa pertolongan dari sekolah dan mak ayah, bagaimana cara anda berhadapan dengan isu terkini juga masalah sosial yang kian menjadi-jadi dan sebagainya.

Akhirnya, sesiapa pun mahukan hijrah dalam dirinya. Mahukan peralihan dan perubahan dalam dirinya. Sama-sama kita menjayakan asbab-asbab perubahan dalam diri kita. Hijrah ini bukan kerana orang lain, bukan kerana mahu dipandang tinggi juga bukan kerana paksaan mak ayah, tetapi kerana Allah s.w.t. Hijrah Rasulullah takkan berjaya tanpa pertolongan Allah begitu juga hijrah kita.

Sama-sama tancapkan dalam diri masing-masing,
INILAH HIJRAHKU.
Author: Ahmad
•9:49 PM

Assalamualaikum. Kif hal?

Penulis dan rakan penulis kini sedang imtihan kubra. Harapnya mumtaz semuanya. Bukan apa, tapi untuk ummah. Doakan semuanya dipermudahkan.

Ya Allah, mudahkanlah kami untuk menjawab periksa ini.
Ya Allah, kuatkanlah ingatan kami.

Ya Allah, kami sedang bantu agamaMu dan Kau bantulah kami semua.

Ya Allah, makbulkanlah doa kami, ibu bapa kami, saudara kami.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami kerana ilmu itu hanya akan masuk pada hati-hati yang bersih.
Ya Allah, hanya Engkaulah yang mampu untuk bantu kami.

Ya Allah, jadikanlah kami berjaya, cemerlang dalam setiap periksa kami, urusan kami, dakwah kami dan segalanya.


Mumtaz untuk ummah!

*tak sempat nak post apa-apa sangat pun waktu sebegini...
Author: Ahmad
•5:23 AM

Sedar tak sedar kita skrg sedang berada di 10 hari Dzulhijjah. Hari kemucak dalam sepuluh hari Dzulhijjah ini adalah hari Arafah. Sebenarnya Rasulullah amat menggalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah ini iaitu pada 9 Dzulhijjah. Dan juga ganjaran yang besar bagi sesiapa yang berpuasa pada hari Arafah. Dalam satu hadis panjang...

" ....dan puasa satu hari Arafah aku perhitungkan kepada Allah untuk menebus dosa setahun yang lalu dan setahun sesudahnya... " (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Pendapat ulama' juga disertakan,

Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat;“Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bg mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bg yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat berdoa di ‘Arafah.” Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sbb hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji
Jadi, bagi sesiapa yang teringat untuk berpuasa pada hari Arafah, cepat2lah beritahu pada saudara semuslim yang lain. Sebarkan ilmu dan ajaklah beramal~
Author: Ahmad
•4:16 PM
Assalamualaikum. Kif hal?

Setelah lama tidak post sejak hari raya aidilfitri lagi. Apa-apa pun, usaha sebegini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Memberi juga adalah salah satu dalam kehidupan. Bak kata Ust Hasrizal(saifulislam.com), " Erti hidup pada memberi. " Seperti sahabat nabi, Mush'ab Umair yang dihantar ke Madinah untuk berdakwah dan mengajar Al-Quran. Padahal, ketika itu beliau hanya hafal beberapa surah sahaja. Akan tetapi, memberi kepada orang lain lebih bermakna bagi mereka(para sahabat).

Penulis sering terfikir. Di akhirat nanti, akan ada dari umat nabi Muhammad yang duduk bersama dengan para sahabat. Bagaimanakah boleh begitu? Jika nak dibandingkan kita(umat Islam) dengan para sahabat, sangat jauh perbezaannya. Dari sudut solat pun sudah jauh beza apatahlagi dalam urusan kehidupan seharian. Yakinlah pada janji Allah. Contohi para sahabat.

Apa yang 'special'nya para sahabat?
Mereka semua ini HEBAT. Zaman mereka seperti neraka(diseksa dll) dan sebab itulah mereka yakin akan nikmat syurga yang akan melupakan segala pahit getir perjuangan mereka di dunia. Lantas kesusahan itu yang menolak mereka untuk lebih yakin pada nikmat yang berkekalan kelak.

Seperti zaman Melayu pada zaman penjajahan Jepun. " Jangan takut Pak usop, walau kena cincang, dibunuh malahan dibakar pun oleh tentera Jepun. Sebab nanti kat syurga nanti kita akan senang selama-lamanya. " (Gambaran penulis pada zaman penjajahan Tanah Melayu dahulu kala). Mereka lebih yakin pada kenikmatan syurga kerana apa yang mereka hadapi di dunia adalah kesusahan, seksaan, kekejaman dll. Sebab itulah bila diceritakan tentang nikmat di syurga mereka akan lebih yakin dan tidak kisah pada seksaan di dunia.

Sabda Nabi… kalaulah nilai dunia ini sama dengan sebelah sayap nyamuk sajapun, maka Allah tak akan bagi orang-orang kafir minum walaupun seteguk air. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim.


Kita di zaman ini dah macam syurga dah. Mana lagi nak fikir nikmat-nikmat di syurga bahkan di dunia pun dah dapat macam-macam nikmat. Susah sedikit pun merungut. Akhirnya perkara sebegini yang menyebabkan kita 'lupa' pada akhirat. Lalai dengan kenikmatan yang melimpah-limpah. Internet, DSLR, iPod touch, NIKE, iPhone 4, ADIDAS, iPad, laptop, handphone canggih dan sebagainya. Tidakkah nikmat di syurga itu lebih baik daripada yang ada di dunia ini?
Satu hari Nabi Muhammad ada dekat satu tempat pembuangan sampah. Kata Nabi Muhammad kepada para sahabatnya, “Kejarlah dunia.” Kemudian dia ambil satu sampah dan satu tulang reput lalu berkata, “Inilah dunia.” Hadith riwayat Imam Baihaqi.
Andai sahaja penulis sendiri menawarkan iPhone 4 yang terbaru. Syaratnya ialah dengan menukarkan dengan 3 kuku daripada anda sendiri. Cabut 3 kuku dan anda akan dapat iPhone 4. Anda mahu??
Andai tiga jari anda ditukarkan dengan kereta Ferarri ditambah dengan kereta mewah Bugatti Veyron. Adakah anda mahukannya??
Secara fitrah manusia, dia takkan mahu kerana baginya jari itu lebih berharga dari kereta2 itu. Siapa yang mencipta jari anda itu? Siapa yang menggerakkannya supaya anda boleh makan, minum, buat kerja dsb?


Tidak lain tidak bukan hanya Allah lah yang beri segala nikmat itu. Dan Allah sendiri berkata bahawa nikmat syurga itu lebih baik dari nikmat di dunia. Anda percaya??
Tepuk dada tanya iman.
Author: Ahmad
•11:22 AM

Assalamualaikum w.r.t.

Eid Sa'id.
Salam Eidul Fitr Al-Mubarak.

Maaf Batin Zahir.


Sedar-sedar, hari raya sudahpun muncul. Walaupun Ramadhan yang dilalui kurang 'perform' tetapi tidak boleh tidak mesti sambut Aidil Fitri juga. Samada bergembira di pagi raya ataupun bersedih. Kadang-kadang, muncul pelbagai ragam di hari raya ni. Pelik melihat rancangan di televisyen yang menunjukkan kemeriahan Aidilfitri. Disambut meriah sekali sambil aurat terbuka, pergaulan bebas, persentuhan buka mahram dan sebagainya. Terdetik di hati, layakkah mereka ini menyambut hari raya ni? Bagaimana Tuhan di sudut hati mereka ketika itu..

Aidilfitri sebenarnya betul-betul dirasai oleh mereka yang merdeka dari nafsu dan syahwat dan juga berjaya menundukkan nafsu dalam masa sebulan. Inilah kemeriahan sebenar bagi orang-orang yang beriman. Terkadang terasa pula diri ini tidak layak menyambut Aidil Fitr lantaran diri ini yang belum merdeka sepenuhnya..

Mudah-mudahan terbit paling kurang pun satu perubahan dalam diri selepas Ramadhan. Perubahan yang baik. Itulah hasil madrasah Ramadhan. Setiap madrasah ada visi dan misinya. Ramadhan juga begitu. Bukan sia-sia.
Terlihat juga post di Facebook,

Teman², mcm mana ramadhan tahun ni? Quran dah berapa kali habis? Pahala dah terkumpul banyak? Dosa terhapus semuanya? Hati sudah bersih dari Jahiliyyah?
"Celaka dan rugilah sesiapa yang berlalu padanya Ramadhan, tapi tidak diampunkan dosanya" (Hadis)

Moga-moga ada penerusan Ramadhan bagi diri kita sendiri. Bukan orang lain.
Author: Ahmad
•6:51 PM
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Setelah lama tak update bergelumang dengan 'kesibukan' yang sementara. Bukan tidak mahu, mahu tidak mahu zaman ini memaksa untuk berbuat begitu. Apalagi yang mahu diharapkan? PhD, Ust, Dr, Ir semuanya menjadi begitu berharga di luar sana.
Ramadhan 1431H.

Umpama R&R. Satu perhentian yang cantik untuk kita counter kembali dosa-dosa yang mempasir 11 bulan lalu. Siapa yang mampu berkata dia masuk syurga tanpa dia memanfaatkan Ramadhan? Penulis yakin bahawa tiada siapa yang yakin bahawa dia boleh masuk syurga tanpa memanfaatkan Ramadhan.Di akhirat nanti setiap orang akan menerima suratan amalan mereka sendiri dalam keadaan yang berlutut(jaathiyah). Saat ni adalah saat-saat yang paling genting dan penting dalam diri kita sebenarnya. Lebih genting dari mendapat result PMR, SPM, STAM dan sebagainya. Kerana ia adalah penentu anda samada ke syurga ataupun ke neraka. Tak lari dari dua tu. Bayangkan keadaan itu.Nanti sekejap. Anda sebenarnya masih boleh buat pembetulan lagi. Ramadhan umpama guru yang memanggil kita untuk membetulkan kesalahan kita. Kalau anda malu dengan guru anda, anda tanggung sendiri markah anda yang corot. Anda malu dengan Ramadhan?
Pastikan buku kita kali ini dipadam habis-habisan kotornya. Hanya tinggal beberapa hari lagi peluang ini terbuka luas walaupun pada hari lain dibuka juga tetapi tidak sehangat kali ini.
CAT BESI

Satu analogi. Penulis berikan anda sebatang besi ataupun seketul besi. Letakkan karat pada besi itu berdasarkan dosa-dosa yang anda buat. Kalau dosa anda banyak, banyaklah karatnya. Kalau sikit dosa, bersihlah besi itu. Besi itu hati. Bila anda memasuki Ramadhan, anda umpama mahu mengecat kembali besi itu. Satu perkara sebelum cat besi tu. Perlu untuk dibuang karat-karat tersebut.
Kata seorang ustaz " Biar sikit amal tapi clear "
Maksudnya?
Ramadhan ini menuntut untuk kita banyak beramal. Tetapi sejauh mana amal kita ada kesannya pada kita. Anda hanya mahu sekadar pahala sahaja? Mereka yang beramal hanya sekadar pahala sahaja umpama dia terus mengecat besi yang karat tersebut tanpa membersihkannya. Lagi banyak lagi tebal cat. Tetapi selepas proses mengecat, jika cat itu tidak melekat kuat pada besi, ia akan terurai kembali. Tampaklah karat-karatnya. Nasihat penulis, cuba untuk Ramadhan kali ini kita fokus sesuatu yang realiti. Fokuskan pada keampunan Allah. Gosok karat-karat tersebut sambil mengecat. Anda rasa anda tidak layak masuk syurga adalah kerana pahala sikit ataupun dosa yang banyak? Pilih salah satu... cuba huraikan.

Rasulullah pernah mengatakan pada Umar al-Khattab agar meminta doa pada Uwais al-Qarni agar diampunkan dosa. Doanya mustajab. Ketika di waktu Umar menjadi khalifah, beliau mencari pemuda Uwais al-Qarni. Akhirnya ketemu jua. Beliau meminta sepertimana suruhan Rasulullah. Bayangkan, khalifah meminta dosanya diampunkan. Kebiasaannya pemimpin akan meminta untuk lebih kaya dan berkuasa tetapi al-Khattab mendahului semua itu dengan maghfirah Allah. Suatu yang tidak pelik zaman itu.

Biar kita faham apa yang kita buat pada Ramadhan ini. Kalau solat tarawih, niatkan keampunan, kalau baca Al-Quran, niatkan keampunan dll. Bukan sekadar mahu menambah pahala tetapi dosa juga terhapus. " Sesungguhnya amal itu bergantung pada niatnya. " sabda nabi. Jangan tidak berniat langsung dalam lakukan amal.

Ingat, Allah hadirkan Ramadhan bukan hanya bertumpu pada promosi pahala tetapi juga pada keluasan keampunan. Rasulullah bersabda, " Manusia tidak masuk syurga dengan amalnya. "

Apa yang anda mahu sebenarnya pada Ramadhan ini??
Author: Ahmad
•11:54 PM
Salam alaik. Kif hal?
Bagaimana iman anda hari ini? Sama-sama kita semak kembali iman kita kerana iman di hari ini tidak sama dengan iman semalam. Iman esok tidak akan sama dengan hari ini. Mungkinkah iman kita hari mendatang lebih baik dari hari yang berlalu? Sama-sama FIKIR.

Dunia kini telah hebah dengan isu Gaza yang belum dan takkan habis sehingga hari kiamat. Dengan cengkaman Israel yang amat kejam manakan mereka sanggup melepaskan 'bumi' yang dijanjikan kepada mereka. Namun di suatu sudut tenggara asia, muncul semangat persaudaraan Islam yang ingin membebaskan Palestin dari jajahan laknatullah al-Yahud. Itulah Malaysia yang kita sayangi ini. Walaupun negara-negara arab yang sinonim dengan Islamnya, tidak terkalahkan oleh semangat Islam juga dari sudut tenggara asia ini. Mungkinkah revolusi Palestin dari Malaysia ini mengalahkan negara-negara arab di timur tengah sana? Ataukah mereka ada agenda tersendiri yang tidak kita sedari membantu umat Islam tertindas di Palestin sana. Ikhwan Muslimin juga menyeru seluruh dunia berhubung isu terkini di Palestin. Penulis sendiri bersyukur kerana hidup di tanah air ini. Kerana sentimental Melayu Islam yg luarbiasa di sini.

Pelbagai usaha dari sini untuk bersama-sama menyertakan keislaman kita bersama saudara-saudara di Palestin sana. Baru-baru ini kapal Rachel Corrie, Mavi Marmara dan lain-lain bersama rombongan Turki dan LL4G dengan kerjasama Haluan, Viva Palestina, Aqsa Sharif, MAPIM , PACE dan lain-lain telah melakukan pelayaran ke pantai Gaza. Akhirnya disekat oleh Israel di tengah lautan dan dibawa ke pelabuhan Ashdood. Dengan dana hampir 2 juta mereka mahu sampaikan bantuan ke Gaza tetapi dirampas oleh laknatullah israel. Bagi penulis, misi ini telahpun berjaya walaupun barang-barang bantuan tidak kesampaian tetapi dengan usaha ini, mereka berjaya mencelikkan mata dunia bahawa israel adalah negara yang kejam dengan melanggar hak-hak kemanusiaan membunuh beberapa orang Turki dalam rombongan keamanan tersebut. Mereka semua yang di dalam kapal tersebut bukanlah tentera malahan hanya orang awam yang menuntut bela keamanan tetapi dibunuh dan dicederai oleh komando israel yang kejam tidak mengenal erti kemanusiaa. Bagi mereka, sesiapa yang menceroboh, mesti dihalang walaupun dengan cara bunuh. Itulah kekejaman israel yang dilihat oleh seluruh mata dunia. Bukan senang mahu melakukan pelayaran dengan risiko yang tinggi berhadapan kuasa dunia kini. Aman Palestin juga telah menghantar konvoi bantuan dana sebanyak USD 100,000.00 melalui pintu masuk Rafah yang baru dibuka. Semoga segala usaha yang dilakukan diberkati dan diterima oleh Allah. Ada juga demonstrasi di kedutaan Turki dan Amerika. Semoga semuanya diganjari.Penulis baru sahaja melihat video ahli rombongan Turki yang cedera yang berada di hospital. Walaupun dibedah sana-sini dan terbaring di atas katil merasakan kesakitan tetapi masih lagi tersenyum apabila ditemu ramah wartawan. Penulis kagum dengan mereka. Mereka merasakan telah ada sesuatu usaha dari mereka untuk saudara mereka di Gaza. Inilah juga alasan yang akan dikemukakan mereka di hadapan Allah kelak. Palestinkini juga ada posting di Facebook berbunyi " janganlah tenggelam dalam 'keseronokan' mendengar cerita sukarelawan gaza sebaliknya carilah alasan untuk anda berpindah ke medan bertindak dari medan tahu. "

Lalu, dimanakah kita?
Adakah dengan hanya melihat berita sudah melepaskan diri kita di hadapan Allah terhadap tanggungjawab sebagai seorang muslim?

Usaha kita adalah usaha yang memberi hasil. Andai kita hanya menangisi, menderma, berdemostrasi semangat untuk berperang di bumi Palestin itu semua tidak cukup untuk memberi hasil. Bahkan orang Palestin sendiri menyatakan kita tidak perlu datang ke Palestin untuk berjihad tetapi memberikan sokongan moral untuk mereka. Usaha kita adalah usaha tarbawi. Iaitu dengan membina diri kita sendiri dengan menguatkan amal fardi, menambahkan kefahaman dakwah, isu semasa, Islam dan sebagainya. Cara kita bukan hanya satu cara sahaja untuk membantu saudara kita di Palestin tetapi kita ada seribu cara untuk membantu mereka di sana. Dengan demonstrasi, derma, boikot, tarbiyah diri, tangisan air mata, konsert Palestin, menyebarkan isu semasa dan banyak lagi cara yang kita boleh buat. Kita mahu usaha yang membuahkan hasil bukan yang membuangkan masa.

Author: Ahmad
•5:15 PM
Salam alaik.

Alhamdulillah. Sebutan yang mesti terpacul pada mulut kita setiap hari. Kerana apa? Masih mempunyai masa perbaiki diri, mengabdikan diri, dan sebagainya yang tak terhitung nikmat-Nya. Sebahagian manusia tidak menyedari, setiap hari matanya celik bangun dari tidur, melihat dunia, berwarna-warni, mulutnya tak tersebut pun nama tuhannya. Mana syukurnya? Dimana tuhannya dalam hatinya? Solat subuh pun tersengguk, nak tunjuk syukur macam mana? Kalau nak harapkan solat subuh, semua orang Islam solat subuh..
Buktikan saudaraku. Amalan sunat itulah yang menunjukkan kelainanmu dengan saudara yang lain. Anda bangun untuk qiamullail itulah buktimu untuk syukur. Anda bermunajat di tengah malam itulah buktimu syukur. Anda solat subuh dengan sedar, itulah buktimu syukur. Allah suka hamba-Nya yang membuktikan syukurnya dengan sungguh-sungguh. Hatta, Rasulullah pun solat malam sehingga bengkak kaki baginda. Apa jawab baginda pada si Aisyah yang kepelikan melihat orang yang maksum bengkak kakinya bermunajat?
" Salahkah aku menjadi hamba-Nya yang bersyukur? "
Kita hamba kepada majikan hanya sehingga habis kontrak. Kita hamba kepada boss kita hanya sehingga kita dipecat. Kita hamba kepada Allah?
Setiap masa, saat, detik, dimana sahaja berada, apa-apa pun kita buat, semuanya masih menjadi hamba-Nya. Tak pernah miss pun kita dari perhatian Allah. Kadang-kadang diri ini terlupa..
Adakah semasa solat sahaja kita hamba Allah? Adakah semasa berpuasa sahaja kita hamba Allah? Adakah semasa haji sahaja kita hamba Allah? Adakah semasa kita ingat Allah sahaja kita hamba Allah? TIDAK wahai saudaraku. Kita hamba Allah selama-lamanya.

Dunia jua tempat kita. Anda suka pada dunia? Semua orang suka.
Apa beza dunia akhirat? Cuba ambil masa fikirkannya...

Bezanya ialah KEKAL. Satu analogi. Seorang kawan anda beri anda RM 100. Kemudian dia suruh kembalikan minggu depan. Berbeza dengan seorang lagi kawan anda. Seorang lagi dia beri RM 10. Katanya, ambillah terus dan tak payah pulangkan. Mana satu pemberian yang anda suka? Mestilah yang beri anda terus duit itu. Tak payah nak pulangkan balik. Kan seronok dapat terus. Itu baru Rm 10. Akhirat lebih dari tu. Lebih dari RM 100, lebih dari sejuta, lebih dari dunia dan seisinya. Dunia ini akhirnya kita akan pulangkan kembali apabila kita mati. Ada barang yang boleh kita bawa ke kubur? Tiada langsung walaupun semasa kita hidup, berjuta duit keliling pinggang, kereta mewah bertaburan di halaman rumah dan sebagainya. Apa nilai dunia di pandangan Allah?

Dalam satu hadis ada menerangkan tentang dunia..

" Kalaulah dunia itu bernilai sebesar sayap nyamuk di pandagan Allah, nescaya orang kafir takkan minum seteguk air pun. " -Ar- Rasul-
Hati-hati pada apa yang anda sibukkan. Adakah sibuk anda pada dunia melebihi akhirat anda? Adakah perancangan kita untuk dunia melebihi perancangan kita untuk akhirat?
Kalau kita boleh merancang untuk mencari duit bersungguh-sungguh, apa salahnya kita mencari pahala lebih dari kesungguhan mencari duit. Sanggup korban tenaga, masa untuk cari duit. Apa usaha anda untuk cari pahala? Ucapan bismillah di mulut pun payah? Ucapan salam pada saudara seIslam pun malas? Cari duit, makanan boleh pulak. Cari pahala?
Author: Ahmad
•12:32 AM

Assalamualaikum w.r.t

Alhamdulillah masih dikurniakan mata untuk melihat ciptaan-Nya, telinga untuk mendengar firman-Nya, mulut untuk menyebut nikmatnya seperti firman-Nya:

" Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan(dengan bersyukur)"
(surah Dhuha:11)
Apa kata anda bila berada di zaman ini? Bagi mereka yang pernah melalui zaman tiada internet, teknologi, handphone, dan sebagainya pasti mereka akan menjawab bahawa zaman ini sangat memudahkan sehinggakan lupa akan kesusahan dek kehujanan kesenangan duniawi. Bagi mereka yang sejak kecil sudah mendapat kesenangan? Apa kata mereka?

" Ayah dulu malam-malam pergi masjid naik basikal. Jauh juga. Selepas solat jemaah, terus ayah pergi dengar pengajian agama. Ayah sempat dengan Tok Guru Nik Aziz tu masa dia masih muda. Masa dia tengah mengajar, ayah dia duduk sebelah mendengar anaknya mengajar. Ayah ingat lagi waktu tu.. " kongsi ayah kepada anaknya.

" Ooo.. " anaknya terlopong mendengar.

Anaknya terfikir sejenak.. ' Hmm.. macam ni ya orang-orang dahulu. Pegangan Islam kuat. Amal pun kuat juga. Orang-orang sekarang, ada kereta pun tak terfikir nak bawa pergi masjid. Katanya penat bekerja.. ' desus hati anak muda ini. Dia melihat realiti zaman kini sambil bingung memikirkan kualiti Islam ataupun kuantiti Islam. ' Dulu-dulu bukan ramai pun yang ikut Islam macam zaman Rasulullah, tapi kuatnya para sahabat hinggakan disikat besi yang panas pada belakang badan pun sanggup pertahan akidah ' hatinya mula melirik sirah nabawiyah yang baru dibacanya seminggu lepas.

Tatkala sahabat disiksa. Rasulullah didatangi seorang sahabat lalu ditanyakan kepada baginda:
" Tidak mahukah kamu berdoa kepada Allah? "
Lalu Rasulullah s.a.w duduk dengan merah padam mukanya lantas bersabda:
" Sesungguhnya telah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat-sikat besi, yang mencakar daging-daging dan urat-urat mereka hingga ke tulang-tulang mereka. Itu tidak memalingkan muka dari agama mereka. Dan kepala mereka digergaji hingga terbelah dua. Ini tidak memalingkan mereka dari agama mereka. Satu masa nanti pasti Allah akan menyempurnakan urusan agama ini dengan memberi kemenangan kepadanya di mana orang yang menunggang itu berjalan dari Sana'aa di Yaman ke Hadhramaut tanpa takut-takut kecuali hanya kepada Allahdan hanya bimbangkan serangan serigala ke atas kambing-kambingnya. Tetapi kamu hendak mencapai kemenangan dengan segera ".

Walaupun Rasulullah boleh sahaja berdoa kerana baginda maksum tetapi baginda mahu mendidik supaya mereka mengetahui bahawa ujian dan bencana itu bukanlah perkara baru dan asing tetapi itu adalah sunnah Allah yang pasti berlaku ke atas orang yang beriman dan pasti berlaku di atas dakwah Islam. Bila berlakunya kesusahan demi kesusahan, maka semakin dekatlah dengan kemenangan. Kemenangan takkan dicapai dengan segera tetapi bila berlalunya masa, kemenangan itu semakin jelas.

Ayuh renung kembali, di manakah kita berada sekarang? Adakah susah itu akan memalingkan kita? Adakah susah yang kita hadapi adalah perkara baru zaman kini? Tidak wahai saudara. Bila berlakunya kesusahan demi kesusahan, maka kesenangan semakin jelas. Dahulu kala lebih susah dari zaman kini. Tak susah mana pun kita zaman ini. Betul tak?

Umat ini perlu susah untuk menang!
Takkan menang dengan senang.
Author: Ahmad
•8:30 AM

Sebaik sahaja berjaya membawa Mesir memenangi Piala Afrika 2010 yang baru saja berlalu, jurulatih pasukan bolasepak Mesir, Hasan Shehata menjadi rebutan pelbagai negara untuk melatih kesebelasan pasukan bola sepak mereka. Dengan kejayaan memenangi trofi Piala Afrika 2010 tersebut, bererti Shehata telah berjaya menjadikan Mesir juara untuk ketiga kalinya secara berturut-turut.

Ternyata, negara haram Israel juga turut serta menanam minat ke atas kehebatan Shehata untuk melatih pasukan bolasepak Israel. Namum minat Israel telah ditempelak oleh Shehata.

“Saya lebih suka mati kelaparan daripada melatih Israel,” katanya kepada akhbar harian Mesir Al-Masry al-Youm, pada hari Selasa (9/2).

“Saya boleh mengerti bahawa Israel sangat cemburu akan kejayaan pasukan Mesir. Tetapi dari perspektif saya, itu tidak mungkin untuk menginjakkan kaki saya ke Israel atau melatih pasukan mereka, walaupun jika Israel adalah satu-satunya negara di dunia ini yang ingin memberi saya peluang pekerjaan tersebut.”

Shehata berkata lagi: “Bagaimana Zionis berfikir bahawa saya akan melatih para pembunuh anak-anak dan orang tua? Bagaimana boleh saya bekerja melatih sebuah pasukan yang mewakili bangsa penjajah?”

“Dari sejak saya dilahirkan, saya telah mendengar tentang pembunuhan Israel terhadap orang-orang Arab, di kota hingga ke desa.” tambahnya.

Kenyataan berani Shehata telah menyebabkan semua media Israel melancarkan serangan terhadap dirinya, dengan makian dan kata-kata kasar kepadanya, dan juga terhadap Mesir, setelah sebelumnya media-media Israel memuji kehebatan Shehata dalam melatih pasukan bolasepak Mesir. (eramuslim/fn)


***************

Lalu, setakat manakah usaha kita? Jurulatih Mesir ini telah membuatkan Zionis menggigil!
Adakah diri kita sendiri mampu untuk menyentap hati sendiri? Andai hati sendiri tak mampu tersentak, bermimpi sahajalah Zionis mahu tersentak dengan dirimu!

Author: Ahmad
•12:09 AM
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam bagi Rasulullah, para sahabatnya dan semua yang mengikutinya.

Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan,
Saya dahulukan dengan sapaan Islam yang mulia: Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Dengan kehendak Allah, saya mengambil tanggungjawab yang besar ini, yang telah Allah tetapkan untuk saya, dan dengan permintaan dari gerakan Ikhwan Muslimin (IM) yang saya sahut dengan sokongan dari Allah. Dengan sokongan anggota IM, saya berharap untuk mencapai tujuan-tujuan besar yang kami curahkan seluruh tenaga kami, semata-mata kerana Allah.

Ikhwah dan akhawat,
Saya dahulukan ucapan saya dengan memberi penghormatan kepada guru kita, abang, dan ketua kita yang mulia Ustaz Muhammad Mahdi Akef, Mursyid Am IM yang ketujuh, seorang yang tegas, berdedikasi dan bersemangat tinggi yang telah mengetuai perjalanan pergerakan ini di tengah-tengah ribut dan badai dan telah melepasi segala rintangan, yang mana telah menghasilkan model dan contoh yang baik dan unik kepada semua pemimpin dan pegawai tinggi di dalam kerajaan, pertubuhan dan parti, dengan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan selepas hanya satu penggal.

Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan kami kepada pemimpin hebat yang juga murabbi kami dan kami hanya boleh mengucapkan ”Semoga Allah membalas jasa anda dengan balasan sebaiknya dan Allah anugerahkan dengan pahala para Siddiqin”.

Kami ucapkan kepada ikhwah dan akhawat yang dikasihi di seluruh dunia, alangkah baiknya sekiranya anda berada bersama-sama kami semasa peristiwa besar ini berlaku, namun ianya tidak berlaku oleh kerana pelbagai sebab yang di luar kawalan kita, namun kami tetap merasakan kehadiran ruh anda yang sedang mengukir senyuman dan getaran yang jujur dan ikhlas.

Kepada mereka yang kami kasihi yang menghuni penjara kezaliman dan penindasan hanya kerana menegaskan bahawa Allah tuhan kami dan kerana mengangkat maruah, kehormatan dan kemajuan negara mereka, kami berikan sanjungan dan hormat kepada mereka di atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan, yang mana kami yakini tidak sia-sia. Kami doakan hati nurani para penzalim dan penindas sekalian akan tersentuh dan anda berpeluang untuk kembali bersama-sama menyokong usaha kita, semoga Allah merahmati dan melindungi anda semua.

Ikhwah dan akhawat,
Sepertimana yang diketahui semua, matlamat utama Ikhwan Muslimun (IM) ialah perubahan yang menyeluruh dan lengkap, yang akan membetulkan segala kerosakan menerusi islah dan perubahan. ”Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah” (Hud: 88) dan dengan kerjasama semua punca-punca kuasa dan mereka yang mempunyai semangat tinggi yang tulus terhadap agama dan negaranya.

IM percaya Allah telah meletakkan semua asas yang perlu untuk pembangunan dan kebajikan negara dalam ajaran Islam; maka Islam mestilah menjadi sumber rujukan dan titik tolak bagi pembaharuan, yang dimulakan dengan proses tarbiyah dan melatih disiplin individu muslim, diikuti dengan pembentukan keluarga dan masyarakat muslim dengan mengukuhkan mereka, seterusnya dengan membawa keadilan dan berjihad untuk memerdekakan negara dari segala bentuk penguasaan asing atau penjajahan intelektual, spiritual dan kebudayaan serta penjajahan ekonomi, politik dan ketenteraan. Seterusnya membawa negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan meletakkan negara di persada dunia.

Dengan kefahaman Islam yang komprehensif ini, IM telah digambarkan sebagai pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (toriqah sunniyah), hakikat sufi (haqiqah sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran: ”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77).

IM memahami bahawa Quran dan Sunnah merangkumi semua peraturan, yang digunapakai dalam segenap aspek kehidupan dan ummah ini perlu memilih yang terbaik untuknya berdasarkan peraturan ini, di mana alternatif dan pilihan fikah boleh berubah mengikut adat kebiasaan, masa dan tempat.

Ikhwah dan akhawat,
Walaupun idea, matlamat dan objektif kami adalah jelas, banyak pihak cuba untuk menggambarkan kami dengan gambaran yang lain, meletakkan matlamat dan objektif yang berbeza terhadap kami; oleh kerana itu, kami selalu memperkenalkan kembali diri kami, prinsip dan pendirian kami terhadap isu semasa.

Saya ingin menyatakan kepada mereka yang mendokong kesatuan jamaah, bahawa mereka yang bekerja untuk Tuhan mereka, agama dan negara haruslah bekerja sebagai satu unit, walaupun memiliki perbezaan pandangan. Mereka yang mengatakan bahawa perbezaan pandangan akan menyebabkan perpecahan atau memberi kesan kepada ukhuwwah, sebenarnya tidak benar-benar memahami IM. Anggota IM telah berjanji dengan Allah untuk bekerja keras demi Allah sebagai satu unit seperti sebuah binaan yang tersusun.

IM bergerak berdasarkan peraturan dan disiplin, yang sentiasa diperbaharui dan diperkemas tanpa melanggar prinsip-prinsip yang asas, dan dalam hal ini IM sentiasa menerima nasihat dan pandangan semua pihak kerana mereka mengikut pepatah ”Allah merahmati mereka yang menunjukkan kekurangan kami”.

Ikhwah dan akhawat,
Saya mahu menyorot dan menekankan beberapa perkara berikut:

• Kami adalah satu Jamaah dari umat Islam dan bukan Jamaatul Muslimin, kerana satu kumpulan tidak boleh memonopoli Islam. Dan alhamdulillah, IM sangat popular di semua negara Arab dan negara Islam kerana pendiriannya yang sederhana yang berpaksikan Qur’an dan Sunnah.

• Dakwah dan pergerakan kami adalah bersangkutan dan saling bersandar antara satu sama lain. Pergerakan kami adalah berdasarkan dakwah kami dan motto kami seperti yang telah disebutkan dalam Qur’an: ”Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (al-Hasyr: 10)

• Kami percaya dengan proses islah secara berperingkat, yang mana ini boleh dicapai dengan perjuangan yang damai dan mengikut lunas undang-undang berdasarkan pujukan dan dialog dan sekali-kali bukan melalui paksaan. Maka kami menolak keganasan dan segala bentuknya samada di pihak kerajaan mahupun individu, daripada organisasi atau institusi.

• IM percaya bahawa sistem undang-undang perlu memberi ruang kepada kebebasan individu, syura atau demokrasi, mendapatkan kedaulatan kuasa dari suara rakyat, mengenalpasti kuasa dan pemisahan antaranya, kerana inilah sistem yang paling hampir dengan Islam dan IM tidak akan menerima alternatif yang lain. Dengan perspektif ini, mereka mengambil bahagian dalam politik negara dan menuntut perubahan sistem politik melalui jalan yang sedia ada dan aman seperti melalui parlimen dan kerja kemasyarakatan yang mereka anggap sebagai satu kewajipan sepertimana kefahaman mereka terhadap agama mereka dan ketulusan mereka terhadap ummah.

• Berkenaan pendirian kami terhadap rejim Mesir, kami menekankan bahawa IM tidak pernah menjadi musuh kepada rejim, walaupun rejim selalu memberi sekatan ke atas mereka, merampas wang mereka dan sering menangkap pemimpin-pemimpin mereka. Walaubagaimanapun IM tidak pernah sedikitpun mengurangkan usaha menentang dasar-dasar yang mendatangkan kerosakan dari segala sudut dan terus menerus memberi pandangan dan nasihat untuk mengharungi krisis yang berterusan ini, yang disebabkan oleh rejim ini. IM membesarkan anak-anak bangsa dengan memberi nilai akhlak, moral dan sentiasa membantu orang lain, yang mana semuanya memberi manfaat kepada ummah, rakyat dan institusi negara.

• IM menekankan bahawa pendirian mereka terhadap apa jua sistem adalah berdasarkan mendokong yang baik dan menolak yang buruk, maka mereka tidak menolak sesuatu semata-mata kerana tidak sukakannya.

• Kepada saudara Kristian kami di dunia Arab dan dunia Islam, pendirian kami sangat jelas bahawa mereka adalah rakan kongsi dan peserta dalam membina tamadun ummah, rakan sekerja kami dalam mempertahankannya, rakan karib dalam pembangunannya, maka berurusan dan bekerjasama dengan mereka adalah satu kewajipan dalam Islam. ”Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (al-Mumtahanah: 8).

• IM percaya bahawa kerakyatan sesuatu negara adalah berdasarkan kerjasama dan kesaksamaan dalam hak dan tanggungjawab, kecuali dalam hal peribadi, yang mana mengikut kepercayaan masing-masing.

• IM menolak dengan keras dan mengutuk segala bentuk keganasan atas dasar agama yang sering terjadi dan menyatakan penolakan terhadap peristiwa yang menyakitkan ini, kerana penganut Kristian dan Muslim adalah satu komuniti dari segi struktur sosial dan budayanya. IM juga menyeru untuk diadakan perbincangan yang telus berkenaan sebab di sebalik ketegangan ini dan mencari penyelesaian untuk menghilangkan sensitiviti keagamaan dan mengembalikan negara menjadi satu unit.

• Berkenaan isu wanita, IM telah dengan jelas selama ini memperjuangkan hak-hak wanita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. ”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya” (at-Taubah: 71). Kami menyeru wanita muslim untuk memainkan peranan mereka dan sentiasa mengambil tahu isu semasa kerana ini akan memberi manfaat kepada ummah Islam dan Arab.

• Syura (atau demokrasi) adalah wasilah asas kami, kami bersungguh-sungguh melaksanakannya dan mengukuhkannya. Semua institusi dalam pergerakan ini meletakkan syura dan demokrasi sebagai asasnya, bermula dari majlis di peringkat cawangan sehingga pejabat Maktab Irsyad sendiri. IM menekankan bahawa syura atau demokrasi tidak menghilangkan suara pandangan pihak yang lain, dan mengambil pendapat majoriti sebagai keputusan untuk semua.

• Berkaitan dengan Islam, kerajaan, parti politik, intelektual dan elit budaya, IM percaya bahawa setiap orang harus mengambil bahagian dalam pembangunan dan pembaharuan dan menolak sebarang usaha meminggirkan individu atau persatuan mahupun peranan mereka. Mereka menerima kepelbagaian parti dan kebebasan untuk membentuk sebarang parti tanpa sekatan selagimana ianya masih dalam rangka perlembagaan negara. Mereka percaya dengan peralihan kuasa di antara parti dan kumpulan menerusi pilihanraya yang bebas dan adil kerana negara ini adalah milik bersama dan pembaharuan adalah tanggungjawab setiap individu.

• IM meletakkan isu Palestin sebagai satu keutamaannya dan menganggap isu ini adalah yang terpenting bagi ummah. Kesucian bumi Palestin dan kedudukan Masjid Aqsa di hati kita mengukur tahap kesetiaan kita kepada Islam dan bangsa Arab. IM tidak mengurangkan sedikitpun usaha untuk mengetengahkan isu ini agar ianya menjadi isu utama sistem pemerintahan dan ummah sehingga Palestin merdeka, InsyaAllah.

• IM bersungguh-sungguh menyokong negara Arab dan Islam serta menyokong pendirian mereka yang adil dan isu-isu penting mereka. IM tidak teragak-agak untuk menghulurkan nasihat kepada semua badan dan persatuan Arab atau Islam samada dalam bentuk yang rasmi mahupun secara umum. Mereka juga tidak pernah berhenti berkorban demi Ummah ketika mana diperlukan. Mereka menyeru negara Arab dan Islam untuk bersatu dan bekerjasama menentang projek penjajahan, hegemoni barat dan zionis, sepertimana mereka menyeru untuk kesatuan ummah dan menyelesaikan permasalahan di dalam dan di antara negara Arab dan Islam menerusi dialog dan bukan dengan senjata. Kami mengingatkan saudara kami di Yaman, Sudan, Somalia, Iraq, Lebanon, Afganistan dan Pakistan, bahawa satu-satunya jalan untuk memastikan keselamatan dan keamanan rakyat mereka adalah dengan berdialog dan bersetuju mengenai apakah jalan yang terbaik buat mereka.

• Pendirian kami terhadap sistem global yang dikuasai USA dan barat adalah sangat jelas. Kami tidak bermusuh dengan negara-negara barat, tetapi kami menentang sistem ini kerana ia menuntut demokrasi dan kebebasan untuk rakyatnya manakala menafikannya buat kami. Negara-negara barat menggunakan kekuatan ekonomi untuk mempengaruhi dan mengawal negara kami. Negara Zionis menuntut penghapusan dan penggantian nilai, budaya dan identiti Islam dengan nilai barat, yang mana akan merosakkan iman dan akhlak di negara kami. Kami menyeru ummah untuk bersatu menghadapi Zionis dan projek barat dan mengatasi segala perbezaan ideologi, menghentikan perkauman, dan menolak segala bentuk serangan atau penjajahan terhadap negara Arab atau Islam.

• Kami menuntut sistem global ini diubah menjadi adil dan benar dan terus bekerja ke arah keamanan dan kerjasama di antara bangsa-bangsa dunia dan menyebarkan nilai kebebasan dan keadilan di seluruh dunia. Seperti mana disebut di dalam hadis: ”Setiap kamu adalah anak cucu Nabi Adam, dan Adam dicipta dari tanah” (Hadis riwayat Al-Bazzar). Juga firman Allah: ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” (al-Hujurat: 13). Juga hadis: ”Kaum Arab tidaklah lebih mulia dari yang lain dan begitu juga sebaliknya, orang yang berkulit hitam tidaklah lebih mulia dari yang berkulit putih dan begitu juga sebaliknya, kecuali dalam ketaqwaan” (Hadis riwayat At-Tabarani).

Ikhwah dan akhawat,
Kita melihat masa depan dengan penuh harapan dan keprihatinan.

Harapan adalah slogan hidup mukmin yang benar. Dan ia merupakan bekalan di perjalanan yang panjang, maka kita terus beramal dengan segenap harapan. Kasih sayang dan ukhuwwah merupakan wasilah ikhwan menghadapi kesusahan. Sesungguhnya berputus asa bukanlah sifat mukmin dan berdiam diri bukanlah kualiti seorang mujahid. Keprihatinan kami adalah sama seperti rakyat Mesir, bangsa Arab dan muslim; umat manusia keseluruhannya juga berkongsi keprihatinan yang sama tentang masa depan dunia, yang diancam konflik, wabak dan penyakit, dan para saintis merasa kasihan terhadap dunia kerana pemanasan global, kemarau dan penggurunan. Keprihatinan kami juga terhadap masa depan dunia yang ditadbir dengan polisi kuasa besar yang ingin memimpin dunia secara unilateral selama dua dekad, di mana mereka menyangka mampu mengawal dunia. Namun, mereka dikejutkan dengan darah yang mengalir dan jasad yang bergelimpangan di sebahagian dunia Islam termasuk Afganistan, Iraq, Sudan, Somalia, Lebanon dan Palestin di tambah dengan krisis ekonomi yang tidak putus-putus serta manusia yang hidup dalam kerisauan dan rasa cemas terhadap masa depan mereka dan anak-anak mereka.

Ikhwah dan akhawat,
Rakyat Mesir, bangsa Arab, Muslim dan manusia sejagat meletakkan harapan yang sangat besar kepada anda, anda –dengan izin Allah- mampu untuk menggalas tanggungjawab ini; sejarah telah membuktikan berulang kali tentang kesabaran, ketabahan, ketetapan pendirian dan keberhasilan anda walaupun banyak khabar angin yang tersebar tentang anda.

Tawarkan kepada dunia; Islam yang sebenar, Islam yang membawa toleransi dan kesederhanaan, Islam yang menghormati kepelbagaian beragama, Islam yang menggalakkan saling mengenali dan bekerjasama untuk kebaikan manusia.

Laluilah semua jalan dan gunakan semua wasilah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada manusia dan bersungguh-sungguhlah; ”Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujah-hujah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh” (al-Furqan: 52).

Tetaplah berjihad dengan pernyataan-pernyataan, penulisan, pidato, lagu, filem dan drama, dan semua jenis seni yang terarah dan cara yang suci agar kebenaran Islam terserlah dan menolak segala bentuk syubhat. Slogan kita terdapat dalam ayat suci: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” (an-Nahl: 125). Dan firman Allah lagi: ”Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46)

Didiklah diri anda dengan nilai dan etika yang murni, jadilah contoh buat masyarakat. Pimpinlah mereka ke jalan Allah dengan menjadi contoh yang baik dan dengan akhlak yang mantap. bekerjasamalah dengan semua pihak dalam membentuk peribadi dan menanam akhlak yang mulia.

Bekerjasamalah dengan mereka yang bekerja untuk kebaikan dan taqwa, bahkan bantulah sesiapa sahaja yang membawa kebenaran, mempertahankan iman dan memerangi kekafiran dan atheisme.

Perbetulkan dirimu dan rumahtanggamu, bersegeralah membuat kebaikan untuk membaiki masyarakat. Perhatikan nasib mereka yang ditindas di merata-rata tempat dan kembalikan hak mereka.
Kembalilah kepada Qur’an yang mulia dan Sunnah Rasulullah yang dijunjung, sirah kehidupan Rasulullah dan dan kehidupan manusia-manusia agung yang lain. Pelajari ia dan dapatkan pengajaran darinya dan perbaiki perjalanan kehidupanmu sentiasa dan sedarlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan amalmu dan bukan pada zahirmu. Pertolongan Allah sentiasa menanti, dan ianya amat dekat; ”Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (ar-Rum: 5)

”Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah: 105)

Dr. Mohammed Badee’,
Mursyid Ikhwan Muslimin ke-8

Related Posts with Thumbnails