Author: Ahmad
•12:32 AM

Assalamualaikum w.r.t

Alhamdulillah masih dikurniakan mata untuk melihat ciptaan-Nya, telinga untuk mendengar firman-Nya, mulut untuk menyebut nikmatnya seperti firman-Nya:

" Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan(dengan bersyukur)"
(surah Dhuha:11)
Apa kata anda bila berada di zaman ini? Bagi mereka yang pernah melalui zaman tiada internet, teknologi, handphone, dan sebagainya pasti mereka akan menjawab bahawa zaman ini sangat memudahkan sehinggakan lupa akan kesusahan dek kehujanan kesenangan duniawi. Bagi mereka yang sejak kecil sudah mendapat kesenangan? Apa kata mereka?

" Ayah dulu malam-malam pergi masjid naik basikal. Jauh juga. Selepas solat jemaah, terus ayah pergi dengar pengajian agama. Ayah sempat dengan Tok Guru Nik Aziz tu masa dia masih muda. Masa dia tengah mengajar, ayah dia duduk sebelah mendengar anaknya mengajar. Ayah ingat lagi waktu tu.. " kongsi ayah kepada anaknya.

" Ooo.. " anaknya terlopong mendengar.

Anaknya terfikir sejenak.. ' Hmm.. macam ni ya orang-orang dahulu. Pegangan Islam kuat. Amal pun kuat juga. Orang-orang sekarang, ada kereta pun tak terfikir nak bawa pergi masjid. Katanya penat bekerja.. ' desus hati anak muda ini. Dia melihat realiti zaman kini sambil bingung memikirkan kualiti Islam ataupun kuantiti Islam. ' Dulu-dulu bukan ramai pun yang ikut Islam macam zaman Rasulullah, tapi kuatnya para sahabat hinggakan disikat besi yang panas pada belakang badan pun sanggup pertahan akidah ' hatinya mula melirik sirah nabawiyah yang baru dibacanya seminggu lepas.

Tatkala sahabat disiksa. Rasulullah didatangi seorang sahabat lalu ditanyakan kepada baginda:
" Tidak mahukah kamu berdoa kepada Allah? "
Lalu Rasulullah s.a.w duduk dengan merah padam mukanya lantas bersabda:
" Sesungguhnya telah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat-sikat besi, yang mencakar daging-daging dan urat-urat mereka hingga ke tulang-tulang mereka. Itu tidak memalingkan muka dari agama mereka. Dan kepala mereka digergaji hingga terbelah dua. Ini tidak memalingkan mereka dari agama mereka. Satu masa nanti pasti Allah akan menyempurnakan urusan agama ini dengan memberi kemenangan kepadanya di mana orang yang menunggang itu berjalan dari Sana'aa di Yaman ke Hadhramaut tanpa takut-takut kecuali hanya kepada Allahdan hanya bimbangkan serangan serigala ke atas kambing-kambingnya. Tetapi kamu hendak mencapai kemenangan dengan segera ".

Walaupun Rasulullah boleh sahaja berdoa kerana baginda maksum tetapi baginda mahu mendidik supaya mereka mengetahui bahawa ujian dan bencana itu bukanlah perkara baru dan asing tetapi itu adalah sunnah Allah yang pasti berlaku ke atas orang yang beriman dan pasti berlaku di atas dakwah Islam. Bila berlakunya kesusahan demi kesusahan, maka semakin dekatlah dengan kemenangan. Kemenangan takkan dicapai dengan segera tetapi bila berlalunya masa, kemenangan itu semakin jelas.

Ayuh renung kembali, di manakah kita berada sekarang? Adakah susah itu akan memalingkan kita? Adakah susah yang kita hadapi adalah perkara baru zaman kini? Tidak wahai saudara. Bila berlakunya kesusahan demi kesusahan, maka kesenangan semakin jelas. Dahulu kala lebih susah dari zaman kini. Tak susah mana pun kita zaman ini. Betul tak?

Umat ini perlu susah untuk menang!
Takkan menang dengan senang.
Related Posts with Thumbnails