Author: Ahmad
•7:29 AM



Assalamualaikum w.r.t

Salam Eid Adha 1432H

Eidul Adha tidak boleh tidak mesti dikaitkan dengan korban. Dan korban pula tidak boleh tidak mesti dikaitkan dengan nabi Ibrahim dan anaknya, nabi Ismail.


Saya pula mahu mengaitkan korban dengan kisah nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Pada awalnya nabi Ibrahim berkahwin dengan Siti Sarah. Tetapi dengan kuasa Allah, sehingga umur nabi Ibrahim 80 tahun, Sarah tidak dapat melahirkan zuriat. Akhirnya Sarah meminta nabi Ibrahim agar mengahwini perempuan lain lantaran tiada zuriat. Setelah itu, nabi Ibrahim mengahwini Siti Hajar. Nabi Ibrahim mengahwini Hajar bukan semata-mata suruhan Sarah tetapi itulah kehendak Allah padanya.

Setelah beberapa bulan, akhirnya Hajar melahirkan anak iaitu nabi Ismail. Kian hari, rasa cemburu Sarah terhadap Hajar kian menebal lantaran kelahiran Ismail. Kemudian Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu. Lalu Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan anak mereka menuju ke Baitul Haram.

Sampai di kawasan bukit sofa dan marwah, Allah mewahyukan nabi Ibrahim agar meninggalkan Hajar. Ketika Ibrahim mahu meninggalkan Hajar dan Ismail, Hajar sempat lagi bertanya adakah ini wahyu dari Allah? Nabi Ibrahim mengiyakan. Hajar redha dan yakin bahawa Allah akan menjaganya dan anaknya, Ismail.
Setakat itu sahaja.
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

TAWAKKAL
Kita lihat bagaimana nabi Ibrahim sanggup meninggalkan Hajar dan Ismail tanpa apa-apa bantuan. Lebih-lebih lagi di situ tiada pokok dan air langsung! Betapa tingginya tawakkal seorang bapa terhadap keluarganya. Nabi Ibrahim juga tidak memberitahu bilakah baginda akan pulang kepada keluarga. Lihat juga bagaimana keyakinan Hajar akan penjagaan Allah pada dirinya dan Ismail yang ditinggalkan di padang pasir yang kontang. Tawakkal yang melepaskan kita dari segala resah gelisah dunia.

CINTA
Cinta nabi Ibrahim pada Allah melebihi segalanya. Melebihi cintanya pada isteri kesayangannya yang dapat melahirkan zuriat, melebihi cintanya pada satu-satunya zuriatnya iaitu Ismail. Cinta yang lain akan terkalahkan oleh cinta pada Allah. Sebab itu nabi Ibrahim sanggup meninggalkan Hajar dan Ismail kerana ia adalah suruhan Allah. Mampukah kita melaksanakan suruhan Allah seperti solat, puasa, amar maaruf nahi mungkar etc dengan meninggalkan cinta pada dunia? Saya muhasabah, anda juga muhasabah.

Batu bukit Safa yang masih kekal disitu telah dipagari oleh dinding kaca..


REZEKI
Semasa nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail di bukit sofa & marwah, baginda berdoa agar Allah mengurniakan buah-buahan pada Hajar dan Ismail. Padahal mana ada langsung pohon mahupun tumbuhan di situ! Setelah berlalu masa yang agak lama, datang pedagang ke situ kerana menyedari burung-burung berterbangan di atas langit menunjukkan di situ ada air. Air itu adalah air zamzam yang diperoleh dari kaki nabi Ismail. Akhirnya pedagang yang datang membawa buah-buahan ditukar dengan air zamzam milik Hajar. Lihat bagaimana Allah memberi rezeki buah itu pada Hajar dan Ismail bukan sebab adanya pokok yang berbuah, tetapi buah yang dibawa oleh pedagang dari tempat lain. Yakinlah, rezeki bukan hanya pada kerja etc sahaja bahkan Allah mampu mengurniakan rezeki dari tempat yang tidak disangka.

KORBAN
Keseluruhan cerita ini membawa kita kepada suatu makna yang amat tinggi. Iaitu korban. Korban dalam banyak aspek. Korban dari segi jiwa, harta, fikiran, kemahiran etc. Ini semua telah ditunjukkan oleh para nabi dan rasul sebelum ini. Nabi dan rasul tidak mendapat ganjaran dunia pun apabila mereka berdakwah. Berdakwah tidak menjanjikan harta yang banyak pun, rumah yang besar pun, kenderaan yang mewah pun, tetapi ia menjanjikan darjat yang sangat tinggi bila di akhirat nanti.

Biarlah fikiran kita penat hampir setiap masa memikirkan hal umat dan dalam masa yang sama orang lain bersenang lenang selepas kerja yang penat,
Biarlah kita hidup dalam sederhana lantaran orang lain bergaji tinggi dan hidup mewah,
Biarlah kita berkorban perasaan dan jiwa apabila dicaci maki orang lain apabila beramal dakwah,
Biarlah kita kekurangan duit lantaran infak pada jalan Allah,
Biarlah kita penat lantaran menggunakan kemahiran dalam memperjuangkan Islam,

Ini kerana korban tidak menjanjikan kesenangan. Hakikatnya kita sedang menempah suatu yang amat-amat berharga dan amat tinggi nilainya di sisi Allah walaupun rendah nilainya di sisi manusia. Iaitu pengampunan Allah, keredhaan Allah, syurga Allah dan banyak sangat sampai tak terhitung nikmat-Nya.
Ada seorang sahabat semasa perang Tabuk, beliau tak mampu berkorban dengan harta yang banyak sepertimana sahabat lain. Akhirnya sahabat itu hanya mampu menyumbang sebiji kurma. Sebiji kurma itu pun sudah hampir separuh hartanya. Sangat tidak mampu. Namun, pasti Allah ganjari pengorbanannya walaupun hanya sebiji kurma. Sangat pasti!

Pengorbanan dalam bahasa arab disebut At-Tadhiyah. Ia juga adalah salah satu rukun baiah Ikhwan Muslimin yang diletakkan oleh Imam Hassan Al-Banna. Sungguh bermakna.

Yakinlah saudaraku, pasti ada ganjaran Tuhan pada mereka yang berkorban.


JALAN NEON (vid pasal korban)
Related Posts with Thumbnails