Author: Ahmad
•1:09 PM

Assalamualaikum w.r.t.

Mesir kembali gempar dengan isu protes jalanan cumanya kali ini dirancang oleh pihak anti-Morsi ataupun bahasa mudahnya non-Islamis. Protes yang dinamakan 'Tamarrud' (pemberontak) ini bertujuan untuk menimbulkan kekacauan di sekitar Mesir pada 30 Jun ini demi mencapai matlamat mereka iaitu menuntut pengunduran Dr Morsi sebagai presiden Mesir.

Aneh dan pelik, mengapa masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan presiden Morsi yang hanya baru memerintah selama setahun berbanding pimpinan zalim sebelum ini yang melebihi 30 tahun?! Tentunya ada kuasa luar yang mencetuskan kekacauan ini dan tidak berpuas hati dengan perlantikan Dr Morsi sebagai presiden Mesir. Lebih-lebih lagi presiden Morsi sendiri dari golongan Islamis dan hasil tarbiyah Ikhwanul Muslimin.

Kesannya syabab Ikhwan dan pihak Islamis yang dibantai dan dibunuh. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mendesak tuan presiden untuk meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir ataupun melakukan pilihanraya presiden Mesir sekali lagi. Sudah pasti pemuda yang dibantai ini merupakan aset terhadap dakwah dan tarbiyah mana-mana gerakan. Persoalannya, apakah harga yang dibayar untuk nyawa seorang syabab ini? Adakah berbaloi para syabab ini menggadaikan nyawanya tika fitnah ini? Apakah mereka menyangka dari awal kejadian seperti ini akan terjadi?

Tragedi ini memaparkan pada kita semua bahawa perjuangan dakwah tarbiyah ini laluannya bukanlah seperti laluan ke istana, mahligai yang bertatahkan berlian, berhiaskan mawar, bungaan dan bauan harum. Tapi ia berbanjirkan darah dan peluh dan menjanjikan ujian sepertimana yang dihadapi oleh para sahabat Rasulullah SAW. Sebagaimana firman Allah S.W.T,

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّـهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّـهِ قَرِيبٌ
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." [2:214]


Sejarah umat terdahulu menjelaskan kepada kita bahawa matlamat terakhir dakwah tarbiyah ini bukanlah pengakhiran yang 'happy ending'. Kita kena nampak bahawa pengakhirannya nanti dakwah tarbiyah ini menuntut nyawa dari kita sendiri. Ia bukan sekadar menuntut harta, wang, masa, tenaga dari kita bahkan lebih daripada itu. Apa yang kita ada, itulah juga yang kita beri. Sunnah dan lumrah ini pasti akan berlaku dan sejarah akan terus berulang, cumanya apakah kita sedar dan bersedia menghadapinya. Bila meletakkan pengakhiran sebegitu, tentunya kita akan ikut tarbiyah dengan begitu serius!

Benarlah kata-kata Asy-Syahid Sayyid Qutb,

"Sesungguhnya kata-kata kita akan sentiasa menjadi anak patung sehinggalah kita mati untuk patung-patung ini (menegakkan kata-kata kita). Pada ketika itu tertiuplah ruh ke dalam anak patung tersebut dan hiduplah ia."


Ungkapan-ungkapan kita akan kekal menjadi patung dan tidak bermanfaat sehinggalah kita mati kerana ungkapan-ungkapan tersebut. Sehingga kita mati di atas jalan dakwah tarbiyah. Setelah itu, barulah ia akan menjadi manhaj yang hidup mekar sebagaimana telah dibuktikan oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb, Imam Hasan Al Banna dan legasi dakwah tarbiyah ini. Slogan  الموت في سبيل الله أسمى أمانينا (Mati di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami) juga adalah syiar Ikhwan Muslimin yang kelima dari lima.

Doakan Mesir dan ahlinya dipelihara dari kuasa-kuasa dan tangan-tangan jahiliyah durjana!

Author: Ahmad
•12:04 AM

Setiap tahun berlalunya peristiwa Isra' dan Mikraj. Adakah dengan berlalunya tahun demi tahun, pengetahuan dan tatbiq(pengamalan) kita terhadap Isra' Mikraj sama sahaja? 

Berikut beberapa hikmah yang boleh diambil dari peristiwa agung ini:

1) Isra' Mikraj menyaksikan pemilihan keteguhan iman para sahabat sebelum memasuki dakwah era baru, mempersiapkan generasi hijrah mendatang. Ada sahabat yang percaya seperti Abu Bakar dan ada juga yang sebalikya.

2) Solatnya para nabi di belakang Rasulullah SAW menunjukkan kepimpinan baginda dalam risalah Islam bermakna Islam menghapus syariat para nabi umat terdahulu.

3) Memahami kepentingan Masjid Al-Aqsa dan mengikat hati kaum muslimin dan tanggung jawab mereka terhadapnya.

4) Kepentingan solat & keutamaan kedudukannya. Perintah secara langsung dari sisi Allah SWT menunjukkan kemuliaan perintah solat ini.

5) Rasulullah SAW mengingatkan tentang penyakit-penyakit sosial dalam masyarakat, beliau ditunjukkan hukuman siksa bagi pembuat dosa semasa perjalanan Isra' Mikraj baginda. Peringatan buat kita bahawa banyak tersebarnya penyakit masyarakat yang harus kita hindari dan ubah!

Take five!


kredit: iTarbiyyah
Related Posts with Thumbnails