Author: Ahmad
•11:36 AM
Pendekatan aman kami lebih kuat daripada kereta-kereta kebal

Assalamualaikum w.r.t

Mesir kini bersimbah darah mereka yang tidak berdosa, mereka yang berjuang demi kepentingan negara & agama, mereka yang mahukan pemimpin yang adil di sisi manusia dan di sisi Tuhan, mereka yang serik dengan sistem zalim puluhan tahun yang lalu, mereka yang mahukan anak cucu mereka hidup dalam keadilan dan kemuliaan, dan seluruh rakyat Mesir tidak kira pangkat & jawatan. Hakikatnya mereka dalam barisan yang sama apabila berhadapan dengan puak batil ini. Darah mereka ini seperti tiada harga bila ia tumpah ke bumi hanya kerana ia darah umat Islam. Jika darah umat lain, tentunya satu dunia peduli.

Setelah pembantaian tentera pada rakyat Mesir di medan Rabiatul Adawiyah dan Nahdhah terutamanya para Ikhwan, dan kini masih berterusan, timbul satu persoalan besar yang masih belum terjawab. Teka teki yang menjadi mainan fikiran pemikir-pemikir politik. Iaitu mengapa sehingga kini Ikhwan Muslimin tidak mengangkat senjata menentang tentera Mesir??

Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj (landasan) dan prinsip yang cukup unik sejak penubuhannya tahun 1928 lagi. Sejarah mereka telah terlakar dengan penangkapan, penyeksaan, pengharaman, pembunuhan oleh kerajaan Mesir sendiri. Bahkan sejarah ini berulang di zaman kita ini. Namun tidak pernah mereka menentang dengan kekerasan samada mengangkat senjata mahupun apa-apa kekerasan sekalipun. Hanya kerana mereka mempunyai manhaj yang unik dan tegas. Manhaj perubahan yang menerapkan perubahan bermula dari bawah hingga ke atas iaitu  dari diri sendiri sehinggalah kepada ustaziatul alam (guru kepada dunia) melalui dakwah tarbiyah. Jauh sekali dari kekerasan untuk mendapatkan perubahan yang mereka impikan. Jika mereka mengangkat senjata pada waktu ini, maka mereka telah menggadaikan manhaj mereka.

Dari sudut persiapan persenjataan, Ikhwan sendiri sememangnya tiada persiapan persenjataan seperti HAMAS dan mujahidin yang lain pun. Maka apakah motif jika mereka mengangkat senjata pun? Apakah dengan sedikit persiapan persenjataan mampu melawan tentera Mesir yang cukup dengan peralatan perang? Itu hanya akan membawa kepada keadaan yang lebih teruk jika berlaku peperangan. Keadaan yang Ikhwan hadapi di Mesir berlainan dengan keadaan yang HAMAS hadapi di Palestin. Jika keadaan pun berlainan, tentulah persiapan pun berbeza. Walaubagaimanapun Imam 
Al Banna tegaskan Ikhwan juga beriman dengan kekuatan senjata. Cumanya mengikut tahap persiapan dan kesediaan. Sepertimana Rasulullah berperang apabila benar-benar bersedia dan cukup persiapan. Kena lebih menelaah fiqh jihad.

Dari sudut logik pula, jika Ikhwan mengangkat senjata, maka tentera pula akan menjustifikasi tindakan mereka bahawa mereka juga berhak menyerang Ikhwan hanya kerana Ikhwan juga turut mengangkat senjata. Mereka(tentera) akan beralasan bahawa Ikhwan yang menyerang mereka, maka mereka perlu mempertahankan diri dengan menyerang juga. Ini mainan psikologi sebenarnya apabila tentera membantai Ikhwan, pada hakikatnya mahu memaksa Ikhwan mengangkat senjata. Sebenarnya bila Ikhwan kekal dengan pendekatan aman seperti ini, Ikhwan lebih mendapat simpati dari seluruh dunia. Bilamana dunia sendiri melihat kekejaman tentera Mesir pada rakyat yang tidak berdosa yang tidak memiliki senjata apa pun. Yang ada hanya Al-Quran dalam khemah-khemah mereka.

Teringat saya akan suatu kisah di zaman ribuan Ikhwan dimasukkan ke dalam penjara. Pernah sebilangan anggota-anggota Ikhwan berkata kepada syeikh Hasan Hudhaibi (Mursyidul Am Ikhwan ke-2): "Bukankah bilangan kita dalam penjara ini mencecah ribuan orang? Mengapa kita tidak menyerang pengawal-pengawal penjara demi membebaskan kita dari penjara ini?".

Al-Hudhaibi menjawab: "Barangsiapa melakukan tindakan tersebut, maka dia bukan anggota Ikhwan! Sesungguhnya, nyawa seorang dari seribu an
ggota Ikhwan adalah lebih berharga bagiku daripada batang leher Jamal Abdul Nasir! Berjaga-jagalah! Jangan ada seorang di kalangan kalian yang memberi kesempatan kepada anjing-anjing hina itu untuk menghapuskan golongan orang-orang yang beriman. Tahanlah diri kalian, bersabarlah, tingkatkanlah kesabaran dan tetap tabahlah sehingga datang ketetapan Allah!"




Gambar Sayyid Qutb, Muhammad Farghali dan para Ikhwan lain dalam tahanan penjara

Ya, sungguh nyawa seorang Ikhwan itu sangat berharga dalam nafas umat dan sia-sialah bila ia digadaikan bukan pada tempatnya. Seperti kata Asy-Syahid Sayyid Qutb;

"Sesungguhnya generasi yang ditanam di tangan Allah (kerana Allah) takkan sesekali dituai di tangan manusia"

Ikhwan selamanya tidak akan sesekali menggadaikan manhaj perjuangannya. Mereka telah hidup atas taqdir Allah biarpun diharamkan, pimpinannya ditangkap dibunuh, pejabatnya dibakar, anggotanya diseksa dengan teruk dan segala azab yang diterima oleh mereka. Namun Allah lah yang mahu dakwah Ikhwan hidup setelah 80 tahun dan setelah berlalunya pemerintahan tentera yang zalim bermula dari General Muhammad Naguib kemudian Jamal Abdul Naser kemudian Anwar Sadat dan terakhir ialah Hosni Mubarak. Kita sangat yakin pada Ikhwan bukan sebab nama Ikhwan itu ataupun kemuliaan tokoh-tokohnya tapi pada manhajnya yang dekat dengan manhaj perjuangan nabi Muhammad SAW.

Wallahua'lam.


*hasil dari buah mulut pimpinan FJP sendiri dan analisa terkini isu Mesir


Related Posts with Thumbnails