Author: Ahmad
•1:51 AM


Bila merajuk dengan dakwah, engkau cuba mencari satu dua kisah pahit membenarkan engkau meninggalkan gerabak dakwah para rasul ini.

Engkau rasa dakwah dan ikhwah perlu meraikan juga menjaga hati dan perasaan engkau padahal sedarkah engkau bahawa tanpa engkau pun dakwah ini akan terus berlayar?

Bila merajuk dengan dakwah, mulalah engkau menyalahkan ikhwah dan orang sekeliling engkau. Kata engkau, mereka lah punca engkau jadi sebegini. Bukankah keputusan merajuk engkau itu di tangan engkau sendiri? Lupakah engkau?

Mulanya engkau menyertai dakwah ini dengan rela hati, tiba-tiba engkau keluar menghamburkan kata-kata sesalan terhdap ikhwah dan dakwah. Sampai hati engkau?

Bila bertembung…
Ingatkah engkau di saat kita berkhilaf dalam perbincangan dakwah, siapakah di antara kita yang hendak memenangkan pendapatnya? Ikhwah menjadi saksi tingginya suara engkau ketika hendak memenangkan pendapat engkau. Bukankah kita ini jemaah satu hati? Mampukah hati ini disatukan dengan amarah dan keegoan di antara kita?

Ada masa pendapat engkau memang bernas dan kukuh tapi kan kita sama-sama yakini bahawa keputusan syura adalah barakah. Bukankah engkau pernah menukilkan kata-kata saidina Ali dalam sebuah artikel engkau; “Kekotoran jemaah lebih baik dari kejernihan individu”??

Mungkin inilah sebabnya kaki engkau mula berundur sedikit dari kami. Kami pun tidak sedar ini antara puncanya. Kami sentiasa mengambil qudwah ketikamana saidina Abu Bakar dan Umar berbeza pendapat. Mereka tidak pernah berganjak mengambil keputusan untuk merajuk dari dakwah.

Sampai bila kita nak merajuk dengan ikhwah yang tidak sependapat dengan kita? Nanti kita solat satu saf juga, halaqah satu kumpulan juga, riadhah satu pasukan juga, makan satu talam juga, meeting satu biro juga, tidur pun bersebelahan juga. Ikhwah inilah yang kita gaduh, kita baik balik, kita muram, kita senyum balik, kita terlebih gurau, kita minta maaf balik.

Ya, hati kita terikat atas jalan dakwah sebelum terikat atas sebab-sebab kerja, teknikal, dan sebagainya.

Bila futur…
Bila semangat engkau lemah, engkau mula menyendiri. Engkau tinggal semua kerja dakwah tarbiyah engkau. Engkau rasa dakwah tidak sesuai dengan diri engkau. Lantas disebabkan engkau lemah semangat (futur), terus engkau menyepi dan merajuk dari dakwah.

Eh, engkau lupa. Bukan dakwah yang perlu menyesuaikan dengan diri engkau, tetapi engkaulah yang sepatutnya menyesuaikan diri dengan dakwah.
Engkau baca kisah-kisah pendakwah terdahulu, ketika mereka diuji, ditangkap, diseksa, adakah mereka ambil keputusan sepertimana engkau ambil keputusan untuk merajuk dari dakwah? Tidak akhi!

Teringat aku seorang ustaz murobbi pernah berpesan; “Bila anta rasa lemah (futur) dalam dakwah, itulah tandanya anta mula tidak tsabat”. Macam halilintar aku dengar pesanan ustaz tu! Banyak kali dah aku rasa lemah dalam dakwah…

Inilah pesanan yang sama aku sampaikan pada engkau.

Jumpalah ikhwah, ambil nasihat penguat diri tika dilanda ujian. Ikhwah juga pernah futur tapi apa yang aku kagum pada mereka ialah respon mereka apabila futur. Mereka cuba untuk tidak berjauhan dari ikhwah sekeliling kerana mereka tahu Allah mencipta ikhwah sebagai penguat bukan hanya hiburan ketika berseloroh semata-mata.

Bila rasa terbaik…
Aku tahu, perasaan bilamana rasa diri sudah cukup baik, cukup tarbiyah, diri lagi soleh berbanding orang lain, dan bermacam-macam lagi penyakit hati ini memang tersembunyi. Sesama ikhwah pun tidak dapat kesan penyakit-penyakit ini.

Tapi ulama terdahulu telah memberi petunjuk bahawa antara penyakit-penyakit hati inilah penyebab ikhwah tinggalkan gerabak dakwah. Ikhwah rasa dirinya cukup baik, pendapatnya yang paling bernas, ikhlasnya yang paling suci, amalnya paling cemerlang, cumanya taat setianya belum teruji bilamana hendak tinggalkan dakwah.

Bila dirasakan tanpa dirinya dakwah akan lambat, tanpanya habislah dakwah di sesuatu kawasan itu, tanpanya mesti ramai ikhwah sedih, tanpanya tiadalah tokoh dakwah, dan tanpanya juga dakwah akan rugi. Ketika itulah mulanya penyimpangan dari jalan dakwah dengan bermulanya penyimpangan niat di hati.

Inilah juga sebab-sebab tragis yang berlaku kepada dakwah bilamana haluan dakwah yang suci iaitu kepada Allah disimpangkan kepada habuan dunia, pangkat, gelaran dan sebagainya. Cukuplah tujuan kita menyimpang bilamana niat kita jauh dari ikhlas, bercampur baur manfaat duniawi, mengejar nama dan pangkat sambil bertenggek atas tubuh dakwah.

Bilamana tujuannya untuk menegakkan hakimiyah Allah tiba-tiba bertukar kepada
“Cukuplah aku dapat kuasa”,
“Yang penting dapat kuasa dulu, nak tegakkan hukum Islam kena tengok keadaan juga”,
“Aku dah cukup sibuk dengan amal politik. Program usrah katibah semua tu nantilah bila aku ada masa aku pergilah”...
Dengan mudah dirinya lupa akan tarbiyah dan dakwah yang mengajarnya bertahun-tahun akhirnya disilaukan sesaat dengan kuasa dan nama.


*****


Itu rupanya kisah di sebalik merajuknya engkau dengan dakwah.
Aku doakan engkau dan aku kekal thabat dan masih lagi menggunakan bahasa yang sama, kamus yang sama walaupun jarak dan masa memisahkan kita.

Dalam arkanul baiah (10 Rukun Baiah) Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna hampir kesemuanya boleh diusahakan kecuali rukun THABAT. Kerana ath-Thabat ini kurniaan Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih.

Di akhir risalah ini, aku selitkan pesanan penulis buku dakwah tarbiyah terkemuka, Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid:

"Inilah ialah satu kenyataan yang menyedihkan dalam kehidupan kebanyakan para pendakwah.
Dakwah mengajar mereka tentang fasahah (kefasihan) dan kehebatan yang memungkinkan mereka untuk memperolehi banyak peluang yang baik.
Tetapi apabila memperolehinya, mereka menjadi lemah. Atau dakwah membuka pintu baginya untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi. Sebelum dia memperolehi peluang tersebut kemungkinan beberapa orang sahabatnya berusaha memujuk pihak bertanggungjawab dalam kerajaan agar dia memperolehi biasiswa kerajaan atau skim zamalah dan sebagainya. Atau kemungkinan sehingga mereka membantunya dari sudut kewangan juga. Manakala sahabat-sahabatnya di tempat pengajian pula membantunya menghilangkan perasaan kerinduan kerana berjauhan dengan keluarga semasa pengajiannya. Mereka menjaganya daripada ditimpa fitnah dan sebagai ganti kepada kaum keluarga.
Tetapi apabila lulus dan kembali, dia menjadi lemah dan berfikir untuk mencipta keuzuran yang boleh melepaskan dirinya daripada bekerja dan melakukan tugasnya. Kadang-kadang dakwah menjadi gedung perniagaan kepada penuntut-penuntut dunia. Mereka berdamping dengannya untuk suatu tempoh tertentu, sehingga apabila telah menjadi pegawai besar, pensyarah universiti atau pakar dalam bidang tertentu, mereka meninggalkan dakwah dan sibuk membina masa depannya sendiri.
Ini adalah perkataan pahit yang wajib diterima oleh para pendakwah. Bahu dakwah ini sudah banyak kali mengeluh kerana menanggung beban ramai orang yang tidak tahu membalas jasanya."

Related Posts with Thumbnails