Berlalunya hari-hari hidup kita sedar tidak sedar jutaan artikel sudah
kita baca. Kiraan itu akan meningkat dengan meningkatnya umur kita. Tanpa kita
sedari, dalam jutaan itu berapa banyakkah artikel-artikel dari Tuhan yang telah
kita baca?
Puluhan novel telah dihayati adegannya, ratusan buku ilmiah
telah dibeleknya, ribuan artikel telah dijenguknya, oh rupanya berapa kali
sahaja Kalam Tuhan telah ditadabburinya?
Bayangkan kita berada di majlis pelancaran sesebuah novel
atau buku kegemaran kita. Penulisnya turut hadir merasmikan dan melancarkan
karyanya. Tentunya hati kita berbunga-bunga mahu berjumpa dengannya dan
menuturkan kalam-kalam yang jujurnya telah tersusun rapi seni bahasanya selama
ini.
Ya, anda sudah berjaya menangkap apa yang saya maksudkan. Ramadhan
adalah majlis pelancaran Al-Quran. Allah mengikat bulan Ramadhan dengan
Al-Quran dalam ayatNya;

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa
itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh
itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit
atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa)
sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan
yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki
kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa
(sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [Al-Baqarah :
185]
Ibn Kathir menyebut dalam Tafsirnya bahawa Allah memuji
bulan puasa (Ramadhan) daripada banyak-banyak bulan kerana Dia memilihnya bulan
diturunkan Al-Quran begitu juga diturunkan kitab-kitab Samawi Zabur, Taurat
& Injil pada bulan suci ini. Tentunya sangat signifikan bilamana artikel
Tuhan dilancarkan pada bulan ini. Apakah signifikannya?
Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, penulis menggariskan
signifikannya bahawa Al-Quran inilah yang mengeluarkan mereka dari kegelapan
kesesatan kepada nur hidayah, menukarkan keadaan mereka dari ketakutan kepada
keamanan, memberi kepada mereka kedudukan yang kuat di muka bumi, juga memberi
mereka asas-asas yang dapat menjadikan mereka satu umat sedangkan dahulunya
mereka tidak menjadi apa-apa. Tanpa asas-asas ini mereka tidak dapat menjadi
satu umat, juga tidak mempunyai tempat di muka bumi ini dan tidak disebut-sebut
di langit.
Tidakkah mereka berasa mulia berbanding umat lain dengan
adanya Al-Quran di sisi mereka?
Ramadhan hadir acapkali menjentik ingatan kita terhadap
Al-Quran yang diturunkan padanya bukan kebetulan tetapi dengan misi dan visi
yang agung.
Bagaimana kita memahami Al-Quran
Dari awal kita fahami bahawa sirah Ar-Rasul adalah tatbiq
(pelaksanaan) daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Maka watak-watak di dalam sirah
dan bagaimana mereka memahami Al-Quran adalah jalan paling tepat untuk kita
ikuti.
Dalam Maalim Fit Tariq, Asy-Syahid Sayyid Qutb menegaskan
bahawa ayat-ayat Al-Quran zaman Mekah telah diturunkan kepada Rasulullah SAW di
dalam tempoh tiga belas tahun, dengan mengemukakan satu persoalan sahaja yang
tidak berubah-ubah iaitu persoalan aqidah yang diterapkan di atas tapaknya yang
terpenting KETUHANAN dan PENGABDIAN serta pertalian antara keduanya.
Beliau menyimpulkan “Al-Quran zaman Mekah tidak melangkau
persoalan pokok ini untuk mengemukakan persoalan-persoalan lain mengenai sistem
kehidupan, melainkan setelah Allah mengetahui bahawa persoalan itu sudah
diterangkan dengan secukupnya bahawa ianya telah sebati dan menjadi daging
darah golongan umat yang terpilih itu, yang telah ditakdirkan Allah bahawa
agama Islam ini akan dibangunkan melalui golongan ini, dan golongan inilah yang
mengendalikan pelaksanaan sistem yang mencerminkan agama ini.”
Maka seharusnya cara untuk kita memahami Al-Quran adalah
dengan bagaimana para sahabat memahaminya ketika ia turun. Iaitu memfokuskan
fahaman kita pada persoalan aqidah dengan mengerti bahawa pengakuan bertuhan
(LA ILAAHA ILLALLAH) itu membawa makna pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan
memerintah yang tertinggi.
Mereka memahami juga bahawa mengesakan Allah melalui ikrar kalimah
syahadat itu adalah bererti mencabut semua sekali kuasa yang dibolot oleh para
paderi dan pendeta, oleh ketua-ketua suku, oleh raja-raja dan
penguasa-penguasa, dan menyerahkan kuasa itu hanya kepada Allah sahaja.
Persoalan yang berputar di zaman Mekah ini tidak pun melangkau
kepada persoalan sistem negara, sosial, urusan muamalah dan sebagainya kerana
apabila sesebuah umat itu telah teguh berpegang kepada asas, maka cabangnya
akan lebih mudah bagi mereka untuk memahami dan melaksanakannya. Inilah yang
sepatutnya menjadi bahan renungan secara serius oleh para pendakwah ke arah
agama ini.
Mudahnya, gunakanlah sifir hamba. Bilamana hamba itu
bersetuju dengan kontrak yang diberi majikannya, maka dia juga bersedia dengan
apa sahaja arahan yang diturunkan ke atasnya. Itulah kita seorang hamba kepada
Al-Khalik yang sewajibnya bersetuju dengan kandungan Al-Quran dan bersiap siaga
untuk melaksanakan arahan-Nya di segenap sudut kehidupan.
Realiti hari ini
Hari ini kita terdengar di corong-corong radio, di portal-portal
berita sebahagian manusia yang beriman dengan mudah mempersoalkan mengenai
hukum Allah, undang-undang syariah dan sebagainya. Padahal manusia yang beriman
di awal fasa kenabian dahulu kala tidak pun mempersoalkan mengenai ini bahkan
Allah mentaujih mereka tidak melebihi dari persoalan aqidah dan manhaj. Berbekalkan
ruh aqidah tiga belas tahun di Mekah membuktikan mereka adalah kurun yang
terbaik sepanjang zaman.
Adakah manusia beriman zaman kini terdesak memerlukan penerangan dan penjelasan
tentang sistem Islam, undang-undang syariah sebelum mereka memahami hakikat
persoalan aqidah dan Al-Quran itu sendiri?
Asy-Syahid menjawab persoalan ini dalam Maalim Fit Tariq;
“Orang-orang zaman sekarang yang mendesak supaya Islam mengemukakan
teori-teori mengenai sistem perundangan yang lengkap, supaya Islam membentuk
dasar-dasar penyelesaian masalah-masalah yang mungkin timbul; sedangkan di bumi
ini tiada lagi sebuah masyarakat yang telah memutuskan untuk patuh kepada
perintah Allah dan menolak sebarang peraturan dan undang-undang selain dari
syariat Allah, sedang mereka mempunyai kuasa untuk melaksanakannya; orang-
orang seperti itu, yang mendesak dan mencabar Islam berbuat demikian, adalah
sebenarnya orang-orang yang tidak faham hakikat Islam dan bagaimana Islam itu
bergerak di dalam hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah.
Orang-orang seperti itu adalah orang-orang yang hendak
mengubah tabiat, program dan sejarah agama ini; orang-orang yang hendak
mengubah bentuk sejarah Islam supaya Islam ini sama setaraf dengan teori-teori
bikinan manusia, sebaya dengan program ciptaan manusia.”
Nah, rupa-rupanya kita tenggelam dalam soal sistem hidup,
keadilan sosial, urusan muamalah sambil menutup rapi hakikat agama ini iaitu
meletakkan segala kekuasaan kepada Pencipta dan menolak selainnya. Bilamana akidah
LA ILAAHA ILLALLAH itu meresap di lubuk hati, nescaya akan meresap pulalah
peraturan-peraturan yang dibawa oleh LA ILAAHA ILLALLAH itu dan jiwa itu rela
menyerah kepada sistem itu walaupun tanpa huraian yang lanjut tentang
sistem-sistem dan perundangan yang lain.
Maka selayaknya untuk kita hadirkan artikel dari Tuhan ini
ke dalam hati kita sebagaimana ianya juga turun beransur-ansur ke dalam hati
generasi awal sahabat bermula dengan hakikat aqidah dan manhaj. Beleklah Al-Quran
dengan niat untuk memahami dan melaksanakan bukan dengan sekadar menambah bank
pahala yang entah bila pasang surutnya.