Author: Ahmad
•11:50 AM

Kesyumulan Islam meliputi seluruh kehidupan daripada urusan kehidupan seseorang individu hinggalah pengurusan sesebuah negara. Islam tidak menyekat segala perasaan atau sikap positif yang lahir pada manusia bahkan Islam memandu sikap positif tersebut agar sentiasa menepati syara’.
Maka istilah nasionalisme bukanlah perkara yang asing dalam Islam bahkan Islam mempunyai pandangan terhadapnya. Inilah syumulnya Islam yang merangkupi seluruh inci kehidupan. Tidak ada sesuatu perkara pun yang terlepas dari sudut pandang Islam apatahlagi hal-hal yang berkaitan dengan kenegaraan.
Nasionalisme Yang Terpuji
Dr Munir Ghadban menaqalkan takrifan الوطنية (nasionalisme) dari Kamus Siyasi dalam kitab beliau Qodhoya Islamiyyah Mu’asiroh iaitu perasaan cinta seseorang pada negaranya yang menyebabkan dia bersedia untuk mempertahankan negaranya. Ia adalah naluri dan fitrah yang dianugerahkan kepada manusia bahkan dianugerahkan kepada seluruh makhluk.
Fitrah inilah yang memuncak di hati Bilal bin Rabah lantas beliau menyenandungkan puisi kerana kerinduannya kepada kota Mekkah dan juga ketika Rasulullah berhijrah dan tersangat rindu pada Mekah. Beliau bersabda:
والله إنك لأحبّ أرض الله إلى الله وأحب أرض الله إليَّ، ولولا أن أهلك أخرجوني منك ما خرجت
“Demi Allah, Engkau adalah tempat (bumi) yang paling aku cintai sekiranya pendudukmu tidak mengusirku, maka aku tidak akan keluar darimu“
Pengutusan Rasulullah SAW bukanlah semata-mata untuk mengasaskan agama sahaja, bahkan adalah untuk membangun kaedah-kaedah negara yang meliputi seluruh urusan dunia. Negara adalah manifestasi kepada Islam itu sendiri dimana tidak sempurna pembinaan Islam tanpa negara, tempat dan geografi.
Dari sini dapat kita fahami bahawa keperluan negara dalam membina dunia Islam. Dr Muhammad ‘Imarah dalam kitab beliau Fiqh Hadhoroh Al-Islamiyyah menegaskan bahawa penggabungan terhadap negara dengan makna nasionalisme adalah suatu keperluan dan peringkat dalam tangga penggabungan seseorang Muslim itu terhadap Islam. Maka Islam adalah agama yang menyeru dan menuntut untuk wujudnya negara dan perasaan kenegaraan (nasionalisme) kerana tidak akan sempurna pembinaan Islam tanpa negara yang menjadi jasadnya.
Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna juga menjelaskan nasionalisme yang terpuji dalam makalah beliau bertajuk Dakwatuna di dalam Majmu’ah Rasail;
“Jika yang dimaksud dengan nasionalisme oleh para penyerunya adalah cinta tanah air, keberpihakan padanya dan kerinduan terhadapnya, maka hal itu sebenarnya sudah tertanam dalam fitrah manusia.
Jika yang mereka maksudkan dengan nasionalisme adalah keharusan berjuang membebaskan tanah air dari cengkaman imperialisme, menanamkan makna kehormatan dan kebebasan dalam jiwa putera-putera bangsa, maka kami pun sepakat tentang itu.
Jika yang mereka maksudkan dengan nasionalisme adalah memperkuat ikatan kekeluargaan antara anggota masyarakat atau warga negara serta menunjukkan kepada mereka cara-cara memanfaatkan ikatan itu untuk mencapai kepentingan bersama, maka di sini pun kami sepakat dengan mereka. Islam bahkan menganggap itu sebagai kewajiban.
Jika yang mereka maksudkan dengan nasionalisme adalah membebaskan negeri-negeri lain dan menguasai dunia, maka itu pun telah diwajibkan oleh Islam.
Tapi jika yang mereka maksudkan dengan nasionalisme itu adalah memilih umat menjadi kelompok-kelompok yang saling bermusuhan dan berseteru satu sama lain, mengikuti sistem-sistem nilai buatan manusia yang diformulasi sedemikian rupa untuk memenuhi kepentingan peribadi —sementara musuh mengeksploitasi masyarakat untuk kepentingan mereka dan berusaha untuk terus menyalakan api permusuhan sehingga umat berpecah-belah dalam kebenaran dan hanya mampu bersatu dalam kebatilan, hingga umat tidak mampu menikmati buah persatuan dan kerjasama, bahkan mereka hanya ibarat menghancurkan rumah yang telah dibangunnya sendiri— maka itu pasti nasionalisme palsu yang tidak akan membawa secuil pun kebaikan, baik bagi penyerunya maupun bagi masyarakat seluruhnya.
Yang membezakan kami dengan mereka adalah bahwa batasan nasionalisme bagi kami ditentukan oleh aqidah, sementara pada mereka batasan paham itu ditentukan oleh wilayah negara dan batas-batas geografi. Bagi kami, setiap jengkal tanah di bumi ini, di mana di atasnya ada seorang Muslim yang mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah’, maka itulah tanah air kami. Kami wajib menghormati kemuliaannya dan siap berjuang dengan tulus demi kebaikannya.”
Peranan Bangsa
Dalam sejarah Islam, bangsa tidak pernah dihapuskan, bahkan setiap bangsa memainkan peranan mereka untuk menegakkan Islam. Dalam perang Rasulullah, para sahabat disusun mengikut bangsa dan kaumnya. Apakah ini asabiyyah yang terlarang? Tentunya tidak sama sekali.
Apabila Allah mencipta bangsa, kaum atau kabilah, sudah tentu ada peranannya di muka bumi ini. Sepertimana peranan yang disebut Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13; “Kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.”
Ibnu Khaldun dalam kajiannya di dalam kitab Muqaddimah, beliau menghuraikan lagi peranan bangsa ataupun disebut asabiyyah dalam politik Islam. Ibnu Khaldun, apabila beliau menghurai syarat-syarat imamah, syarat-syarat seseorang yang ingin menjadi khalifah, beliau menaqalkan hadith Rasulullah SAW; الائمة من قريش yang bermakna imam ini mesti daripada kalangan Quraisy.
Mengapa imam (pemimpin) mesti daripada Quraisy? Adakah sebab mahu mengambil berkat dari keturunan nabi? Tidak. Ibnu Khaldun menyatakan sebab yang paling munasabah sekali ialah kerana kuasa (syaukah), kerana dokongan yang wujud, yang memberikan kekuatan kepada mana-mana pemimpin untuk menjadi pemerintah, yang boleh memaksa sehingga kuasa pemerintahannya itu ditaati oleh orang lain.
Sebagaimana pemerintahan biasa perlu pada asabiyyah, begitu juga pemerintahan Islam, sehingga Ibnu Khaldun menganggap asobiyah itu adalah sesuatu yang daruri dan tiada pilihan lain.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi dan Said Hawwa ketika mengupas tentang Pembinaan Ketamadunan Umat menggariskan 12 ciri antaranya ialah menyasarkan objektif perpaduan umat Islam sedunia seperti yang diperintahkan Allah. Pada peringkat awal, perpaduan Arab dan kemulian mereka merupakan mukaddimah kepada perpaduan dan kemuliaan umat Islam. Ini menepati tabiat berfasa (sunnah at-Tadarruj). Arab merupakan bekas kepada Islam dan bahasa arab adalah lisannya juga mereka adalah pendokong risalah yang pertama. Sepertimana dalam athar “Jika hinanya Arab, hinalah Islam”.
Sekitar Salah Faham
Masalah dan salah faham terhadap istilah nasionalisme berlaku apabila kita sering merujuk takrifannya menurut kacamata barat. Walaupun ulama silam mahupun mutakhir telahpun meletakkan takrifan yang tepat bagi istilah nasionalisme yang terpuji menurut syara’ namun ada juga yang dengan mudah mengaitkan nasionalisme dengan semangat asabiyyah yang diertikan di sudut pandang barat sebagai rasis secara mutlak dengan makna jahiliyyah.
Antara hujah biasa yang digunakan bagi menyalahertikan nasionalisme ialah berdasarkan hadith Rasulullah SAW;
فُسَيْلَةُ قَالَتْ سَمِعْتُ أَبِي يَقُولُ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ قَالَ
وَلَكِنْ مِنْ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْم لَا
Fusaylah berkata: Aku mendengar ayahku berkata ” Aku bertanya Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah apakah seorang yang mencintai kaumnya (bangsanya) itu termasuk fanatik (asabiyyah)?” Nabi s.a.w menjawab: “Tidak, fanatisme (asabiyyah) itu bilamana seorang membantu dan memihak kepada kaumnya atas sesuatu kezaliman.” (HR Ibnu Majah)
Dalam hadith ini, jelas menunjukkan bahawa semangat asabiyyah yang terlarang ialah apabila membantu dan memihak pada kaum atau bangsanya atas sesuatu kezaliman. Maka, mafhum mukhalafahnya ialah Rasulullah membenarkan asabiyyah yang tidak berlandaskan atas kezaliman. Dan secara asalnya, mencintai kaum dan bangsa tidaklah bermaksud asabiyyah bilamana tidak dibina atas kezaliman dan tidak melanggar syarak.
Dalam hadith yang lain, ada menyatakan tentang asabiyyah secara mutlak;
ليس منا من دعا إلى عصبية، وليس منا من قاتل على عصبية، وليس منا من مات على عصبية
Bukan dari golongan kami siapa saja yang mengajak kepada asabiyyah, bukan pula dari golongan kami orang yang berperang karena asabiyyah, dan tidak juga termasuk golongan kami orang yang mati karena asabiyyah (HR Abu Dawud)
Dalam hal ini, kita mengambil sikap pertengahan iaitu tidak menolaknya secara mutlak dan tidak pula menerimanya secara mutlak, tetapi membezakan mana yang dapat diterima kerana sesuai dengan fahaman Islam dan mana yang harus ditolak kerana bertentangan dengan Islam.
Sepertimana dalam hadith لاَ تَغْضَبْ yang bermakna “Jangan marah”. Adakah marah yang dimaksudkan kesemua jenis dan keadaan marah secara mutlak? Adakah tidak dibenarkan langsung marah apabila tanah-tanah kita umat Islam ditindas? Maka di situ dapat kita lihat bahawa khitab (ucapan) Rasulullah punyai tabir yang tidak mudah-mudah untuk kita ambil di sudut zahir sahaja.
Kerugian apakah yang akan ditimbulkan seruan ini terhadap orang-orang yang menyeru kepada nasionalisme, padahal Islam merealisasikan tujuan-tujuan nasional itu, dan malah jauh lebih banyak lagi dari itu?
Maka jelaslah bahawa kefahaman terhadap nasionalisme dan asabiyyah di sisi syara’ bukanlah berlandaskan hawa nafsu bahkan ia adalah fitrah yang tertanam di hati dan ramuan kebangkitan buat umat Islam di sepanjang zaman. Ia adalah manifestasi dari kefahaman terhadap firman Allah;
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا
“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah” (Ali-Imran: 103)
ولا تنازعوا فتفشلوا وتذهب ريحكم
“Jangan kamu bertelagah lalu kamu rosak dan hilang kekuatan kamu” (Al-Anfal: 46)
Sekian والله أعلم
_____________________________________________________
Sumber rujukan:
[1] Al-Quranul Kareem
[2] Sunan Abu Dawud
[3] Sunan Ibnu Majah
[4] Qodhoya Islamiyyah Mu’asiroh, Dr. Munir Muhammad Ghadban
[5] Dirasat Islamiyyah, Asy-Syahid Syed Qutb
[6] Fiqh Al-Hadhoroh Al-Islamiyyah, Dr. Muhammad ‘Imarah
[7] Risalah Dakwatuna Majmu’ah Rasail, Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna
[8] Nazhoriyyah Al-Khilafah FI ‘Asril Hadits, Dr. Ismail Muhammad ‘Isa Syaheen
[9] Risalah Mursyid Al-Watoniyyah Haqqah, Dr. Muhammad Badi’, 2012
Author: Ahmad
•5:25 AM
the only way

Hari ini genap setahun kerajaan Mesir yang sah bertukar kepada kerajaan haram. Sayu hati mengenang ketika malam Presiden Morsi dikudeta oleh tentera. Malam itu Mesir hingar bingar dengan letupan mercun, hon kereta juga sorakan manusia. Hari ini ayat 140 surah Ali Imran berputar di minda saya;

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ
شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari Kami gilirkan dia antara sesama manusia, dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman, dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim."

Syed Qutb merakamkan dalam Tafsir Fi Zilal Quran bahawa ketika kekalahan tentera Islam di perang Uhud, mereka tertanta-tanya “Bagaimana ini? Bagaimana ini boleh berlaku pada diri kita padahal kita adalah orang-orang muslim?” Di sini, Al-Quran mengembalikan kaum muslimin kepada sunnah Allah atas alam semesta, mengembalikan mereka kepada prinsip-prinsip yang berlaku pada semua urusan. Maka, mereka bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan.

Rupanya Allah pergilirkan peristiwa jatuh bangkit umat untuk menapis antara yang tetap beriman dan sebaliknya. Dan juga mengambil sebahagiannya sebagai syahid. Ya, makin jelas dengan peristiwa kudeta Mesir kali ini. Andai ini bukan sunnah jalan dakwah, masakan Allah menerbitkan ayat ini di dalam Al-Quran?

Kalau orang lain persoalkan kelemahan gerabak dakwah ini yang menyebabkan ia terkadang jatuh, saya persoalkan juga isu tsabatnya penumpang gerabak ini. Namun kelemahan itu wajarlah dievaluasi agar mukmin tidak tersungkur di lubang yang sama dua kali.

Tetapi persoalan yang lebih utama ialah adakah pendokong dakwah ini bersedia untuk menghadapi mehnah mendatang dengan sepenuh hatinya dan tsabat hingga ke akhirnya. Yakinkah du’at pada dakwah ini ketika ia jatuh sepertimana yakinnya pada waktu ia gemilang? Cukup sempitkah dada para du'at untuk mengisi mehnah-mehnah ke dalam ruang hatinya?


Jika di situ terdapat 1001 jalan untuk mendapat kemenangan (walaupun dengan cara halal atau haram), namun jalan untuk tsabat tidak semudah pilihan 1001. Nisbahnya mungkin 1 dalam 1001. Lantaran isu tsabat ini hanya Allah yang tahu dan Dia lah yang mentsabatkan dan menggugurkan du’at tanpa kita boleh menjangkakan pun. Ia hak mutlak Pencipta dakwah.

those who make peaceful revolution impossible,
will make violent revolution inevitable

Syeikh Mustafa Masyhur menjelaskan dalam Toriq Dakwah;

Ada orang menggambarkan bahawa dengan sedikit berpolitik, diplomasi dan menggunakan
kecerdikan dan perlaksanaan yang baik dapat mengelakkan ujian dan bencana dari menimpa para pendokong dakwah dan memimpin para pendokong dakwah serta menjauhkan mereka dari bencana dan siksaan yang sangat dahsyat dari musuh-musuh Allah dan dari terus menimpa mereka atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan dan memendekkan masanya.  

Segala bentuk toleransi sedemikian pada hakikatnya menyelewengkan dakwah dari jalan yang diredhai Allah di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah berjalan di atasnya. Kita wajib berjalan di atasnya mengikuti Rasulullah s.a.w. yang menjadi sebaik-baik tauladan. 

Para pemimpin dan para pendokong dakwah harus mengetahui bahawa jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bungaan yang harum. Mereka mesti menguatkan azamnya untuk sabar dan mempertahankan akidah mereka.

Boleh sahaja du’at nak mengelak ujian atau cabaran yang mereka hadapi dengan sedikit diplomasi dan helah tetapi itulah yang akan menyelewengkan mereka dari atas jalan dakwah. Sedar tak sedar rupanya kemenangan yang terhasil dari sedikit mainan (helah, diplomasi etc) itu tidak kekal lama, terseleweng dari hadaf dakwah yang asal dan hilang keberkahannya.. Salah satunya mungkin tidak ramai yang mampu tsabat seperti sebelumnya. Anda sendiri mampu mencongaknya.

Itulah kemenangan murah yang saya maksudkan. Otak tak penat berfikir, badan tak lelah bekerja, mata tak kuyu lantaran cukup tidur, harta tak luak kerana sedikit sahaja yang disumbangkan, maka dapatlah النصر الرخيص (Kemenangan yang murah).

Saya simpulkan dengan kata-kata syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, penulis silsilah fiqh dakwah antaranya Al-Muntalaq;

لا بد من فدية.. لا بد من بلاء .. لا بد من امتحان؛ لأن النصرَ الرخيص لا يبقى؛ لأنَّ النصرَ السهلَ لا يعيش؛ لأن الدعوة الهينة يتبناها كل ضعيف، أما الدعوة العفية الصعبة فلا يتبناها إلا الأقوياء ولا يقدر عليها إلا الأشداء.
Tidak boleh tidak mesti dengan bayaran… Mesti dengan bala/azab… Mesti dengan ujian, kerana kemenangan yang murah takkan kekal, kemenangan yang mudah takkan hidup, sesungguhnya dakwah yang remeh terbina dengan segala kelemahan, dakwah yang kuat dan sukar pula takkan terbina melainkan mereka-mereka yang kuat dan tidak mampu ke atasnya melainkan mereka-mereka yang benar-benar tekad.

Related Posts with Thumbnails