Author: Ahmad
•5:34 AM
Assalamualaikum w.r.t.

Izayyak?
Alhamdulillah quways.

Sehari demi sehari, seminggu demi seminggu dan sebulan demi sebulan. 26 September 2012 tarikh keramat saya mendarat di sini. Rupa-rupanya sudah lebih sebulan saya di bumi Yusuf alaihissalam ini. Terasa cepat dan masih lagi tak percaya kaki terpasak di bumi ini. Dengan debunya, anginnya, manusianya dan seluruh makhluknya amatlah berlainan dengan tanah airku. Terasa sungguh bertuah dan bersyukur dapat ke sini juga walaupun akan terserempak dengan seribu satu masalah. Sungguh ada makna Allah terbangkan aku ke sini dalam jutaan manusia di dunia umumnya dan khususnya di Malaysia.

Kehidupan di sini memang mencabar. Cabar fizikal dan mental. Pergi balik Azhar sahaja pun sudah 'exhausted' ditambah lagi urusan lain. Mungkin dari pandangan orang lain seronok belajar di Mesir tetapi hanya orang yang melalui sahaja yang merasakannya. Kheir insyaAllah.

Suatu hari saya berjalan ke universiti Al-Azhar seperti biasa. Memandang ke langit. Hati saya meruntun, "wah langit yang sama, bumi yang lain".
Jika orang di Malaysia memandang ke langit, warna yang sama, awan yang sama, lukisan yang sama. Begitu juga di sini. Tetapi bumi yang dipijak rupanya berlainan berbanding di tanah air. Sepertinya langit itu cermin yang memantulkan asal usulku. Sungguh signifikan hatiku terbang ke langit ketika itu. Subhanallah.

Nikmat Allah itu untuk disyukuri dan difikirkan bukan sahaja dirasakan semata. Makanan untuk direnungi bukan sahaja ditelannya. Begitu juga nikmat-nikmat Allah yang lain. Serius, sungguh signifikan.

Ahmad Izzat,
Nasr City,
Cairo,
Egypt.


Author: Ahmad
•8:09 AM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah bini'matil Islam

Perjalanan saya ke Mesir semakin hari semakin menjadi realiti. Banyak ujian telah ditempuhi oleh pelajar 'foundation' Al-Azhar ni. Bermula dari STAM sehingga ke Imtihan Qabul. Baru² ni alhamdulillah saya telah lulus Imtihan Qabul dan telah layak untuk menyambung pelajaran ke Mesir samada di bidang syariah ataupun usuludin.

Dari lebih kurang 600 pelajar seluruh Malaysia yang mengambil Imtihan Qabul, hanya 100 lebih sahaja yang lulus. Saya agak sedih dan simpati terhadap rakan² yang tak lulus :( Moga Allah kurniakan hikmah yang besar dan perancangan yang lebih baik untuk mereka. Kita tak tahu perancangan Allah bagaimana kerana di samping kita merancang, Allah juga merancang. Saya juga bimbang adakah saya lulus ini istidraj ataupun nikmat.. Doakan saya jua.

Secara jujurnya saya tak sangka dapat melepasi ujian ini kerana ia bukanlah mudah seperti ujian biasa. Ujiannya termasuk kitabah (penulisan), istima' (pendengaran) dan muhaddatsah (temuduga + al-Quran). Walaupun saya banyak buat silap, tetapi Allah masih takdirkan untuk saya lulus. Thank you Allah :)

Alhamdulillah kini sebelah kaki saya sudah mampu menginjak bumi anbiyaa'. Saya mahu rakan² saya juga turut sama dalam perjalanan ini. Samada yang lulus mahupun tak lulus. Perjalanan ini perjalanan yang jauh dan saya amat memerlukan sahabat handai untuk membantu menempuhi jalan ini bersama.

Tak sampai dua bulan lagi impian ini akan jadi realiti. Semoga perjalanan ku di sana mampu menjadikanku lebih beriman, berilmu dan beramal dengan ilmu berbanding sebelum ini. Perjalanan ini perjalanan hati. Andai tersalah niat di awalnya, penghujungnya juga akan rosak. 

Buat keluarga, rakan², guru², dan semua yang pernah saya kenali ataupun tidak, saya memohon jutaan kemaafan atas salah silap saya sepanjang hidup saya bersama anda. Dan jutaan terima kasih atas bantuan dan sokongan anda dalam membantu saya dalam proses menjadi insan yang berguna di dunia ini.

Akhir kalam;

"Bumi tidak menyucikan, tetapi yang menyucikan ialah amalanmu."
(kata Salman Al-Farisi terhadap Abu Darda' apabila dijemputnya untuk datang ke bumi Madinah)

نحو الى مصر


Author: Ahmad
•10:09 AM

Assaalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar saudara? Semoga sihat belaka.

Bagi yang cakna, baru-baru ni banyak isu yang berlaku sekitar dunia Islam. Antaranya isu Rohingya, Mesir, Palestin, Syria dan sebagainya. Kali ini saya mahu berkongsi pasal Mesir yang baru sahaja menerima presiden terbaru mereka iaitu Dr Muhammad Mursi dari parti FJP yang dikendalikan oleh jemaah Ikhwanul Muslimin. Saya bukanlah yang paling layak untuk berbicara perkara ini. Saya hanyalah pemerhati jauh dari Malaysia dan insyaAllah bakal ke sana suatu hari nanti.

Tercetus di tahrir


Sepertimana kita tahu, Dr Mursi adalah satu-satunya presiden yang dipilih bukan dari golongan tentera sepertimana Hosni Mubarak, Anwar Sadat dan yang lainnya. Ia adalah pilihan rakyat secara telus dan tidak dimonopoli oleh kuasa tentera. Ini berkesinambungan dengan tsaurah(revolusi) di medan tahrir yang dicetuskan rakyat. Bagi saya, IM sebenarnya memikirkan siapa yang mahu menyambut revolusi rakyat di tahrir saban hari kerana revolusi tersebut bukanlah dari IM tetapi ia dari seluruh rakyat yang mahukan keadilan ke atas Mesir.

Setelah revolusi tahrir berjaya dengan turunnya kuasa Mubarak, rakyat tiada pemimpin yang betul-betul mahu melaksanakan inspirasi mereka. Siapa lagi yang mahu menyambut revolusi rakyat ini? Seandainya golongan fulul(saki baki Mubarak) atau liberal yang menyambut revolusi ini, tentu revolusi tersebut rugi dan sia-sia. Dengan itu, IM tampil di tengah-tengah umat Mesir ketika itu untuk memimpin rakyat menghalang kuasa kelompok liberal dan lainnya dari menguasai Mesir. IM mahu menyelamatkan demokrasi Mesir dari kelompok fulul. Dengan itu, IM mencalonkan presiden dari parti mereka.

Kemenangan yang mengakar


Sebenarnya, kemenangan di Mesir bukanlah 100% dari IM sendiri bahkan dari seluruh pejuang Islam di Mesir sendiri yang terdiri dari golongan ulama, salafi, dan lainnya. Cumanya, bagaimana presiden Mesir sendiri dipilih dari golongan IM? Ini tidak lain tidak bukan adalah kepercayaan rakyat sendiri terhadap perjuangan IM. Setelah 84 tahun IM ditubuhkan sejak 1928 yang diasaskan oleh Imam Hasan Al Banna, kemenangan harini sebenarnya mengakar 84 tahun dahulu. Bukan perjuangan yang sekejap dan terburu-buru.


Dapat kita fahami bahawa Al Banna telah meletakkan marhalah dalam pembinaan umat iaitu dari individu muslim, keluarga muslim, masyarakat Islam, negara Islam dan seterusnya sehingga ke ustaziatul alam. Pada harini, mereka(IM) telah menuai apa yang mereka tanam. Sudah bertahun lamanya dan berlalunya beberapa generasi. Ada yang dipenjara, digantung, dibunuh, disumbat bersama anjing di dalam bilik tahanan, diseksa dan sebagainya. Memang layak kemenangan tersebut dipimpin oleh mereka.


Namun, tuaian tersebut bukanlah sekali sahaja bahkan tuaian itu sentiasa berulang-ulang dengan tanaman yang berlainan. Tuaian itu subjektif. Bukanlah yang mahu dituai oleh IM itu hanya menguasai kerajaan Mesir semata-mata, bahkan matlamat IM jauh dan luas daripada itu. Andainya tidak dapat kuasa presiden pun, dakwah IM terus berjalan kerana apa yang mereka tanam dalam hati manusia bukanlah untuk kuasai kerajaan semata-mata tetapi Islam itu sendiri. Islam itu yang ditanam. Jika jawatan, pangkat, kepimpinan itu datang, itu adalah bonus dan hadiah dari Allah. Yang dibina ialah rijal bukan sekadar agamawan, jaguh kebajikan, negarawan, tokoh kemasyarakatan, tokoh perdebatan dan sebagainya.
Benarlah kata-kata syeikh Fathi Yakan dalam kitabnya, Maaza Ya'ni Intimai Lil Islaam:
"Mereka tidak akan patah di tengah jalan dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai hasil sebelum sampai masanya. Ini tidak akan berlaku kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam itu adalah merupakan satu wasilah dalam usaha-usaha untuk mencapai matlamat. Sekiranya kerajaan Islam itu dapat dilaksanakan di tangan mereka, mereka akan bersyukur pada Allah. Andainya tidak, mereka tidak akan berputus asa , tidak merasa kecewa, tidak tidak surut ke belakang dan tidak akan merasa takut." 


Saat kemenangan Dr Mursi sebagai presiden Mesir, terlintas di fikiran saya surah An-Nasr. Surah yang sangat bertepatan dengan kemenangan rakyat Mesir ini.

Ole-ole untuk Malaysia

Kini, dunia Islam tak perlulah lagi mencontohi kejayaan revolusi Iran dan sebagainya yang tidak bersih keseluruhannya kerana mungkin ada unsur syiah, sekutu amerika etc.. Kita ada revolusi Mesir. Sebagai umat di Malaysia, apa yang boleh kita contohi?

1) Tadarruj
Apa yang kita boleh contohi ialah tadarruj(beransur-ansur/bertahap) dalam dakwah dan tarbiyah. Tidak boleh petik buah sebelum masak. Allah mahu tangguh kemenangan kita kerana kita belum cukup kekuatan dan belum bersedia untuk menghadapi kemenangan itu.

Jika merujuk kepada IM di Mesir, tahap mereka sehinggakan dipenjara, diseksa, dibunuh dan sebagainya. Amat jauh beza dengan Malaysia. Jika IM mengambil masa 84 tahun, Malaysia pula berapa lama? Andainya perjuangan mereka sehingga ke tahap itu, kita di Malaysia sebenarnya belum layak mendapat kemenangan dengan gaya kita yang senang lenang ni. Jika nak dibandingkan dengan zaman sahabat, debu di kaki kuda para sahabat itu lagi mulia dari usaha kita yang tak seberapa ini.

2) Pemerintah lahir daripada umat. Bukan pemerintah melahirkan umat.

Jika dilihat pada revolusi Mesir, rakyat sendiri yang beri komitmen terhadap Islam hasil pendidikan universiti al-Azhar dan pejuang Islam di bumi Mesir sana. Lihat sahaja pada rakyat yang berhimpun di tahrir. Solat tidak tinggal bahkan berjemaah lagi di tengah-tengah medan tahrir tu. Selepas revolusi, mereka beramai-ramai gotong royong membersihkan medan tahrir. Masjid mereka penuh dengan pemuda-pemuda. Dan banyak lagi contoh yang menunjukkan komitmen rakyat Mesir pada Islam. Pelajar Malaysia di sana tentu lebih mengenali rakyatnya. Jika umat itu sendiri baik, tentu pemimpin yang lahir juga akan baik. Jika pemimpin itu baik, belum tentu umat juga baik. Sebab itu Al Banna letak individu muslim yang pertama dalam maratib amal.

Kemenangan Palestin juga semakin hampir lantaran kemenangan Dr Mursi sebagai presiden Mesir insyaAllah. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam usaha untuk mengembalikan umat pada Islam. Bantulah saya yang amat dhaif ini dalam perjuangan dan sama-samalah kita saling membantu dan menasihati. Kemenangan mungkin bukan pada generasi kita, tapi pada generasi anak cucu kita nanti. 
Wallahua'lam.
Author: Ahmad
•2:15 AM

Assalamualaikum w.r.t.
Kif hal? Semoga sihat belaka.

Alhamdulillah kali ini kita masih hidup untuk melalui hari-hari yang mendatang. Dan kini, kita juga sempat melalui 3 Mac. Apa ada pada tarikh ni?
Tanpa teragak-agak, ia adalah tarikh kejatuhan khilafah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924. Hakikatnya pada tarikh ini, ia bukan sahaja tarikh kejatuhan khilafah Uthmaniyah bahkan kejatuhan khilafah seluruhnya. Tiada lagi bapa yang menaungi umat. Khilafah Terpadam.

Titik Noda Umat

Khalifah terakhir Islam meninggalkan istana atas arahan Presiden Turki yang pertama,
Mustafa Kamal Atartuk

Tarikh ini juga adalah tarikh secara rasmi terhapusnya sistem pemerintahan khilafah Uthmaniyah di Turki. Secara tak rasmi dah lama dah sebelum tu lagi. Hakikatnya Turki Uthmaniyah mengalami kejatuhan yang bermula beratus tahun sebelum berakhirnya khilafah terakhir ini. Ia adalah manifestasi kelalaian umat Islam sendiri disamping kesungguhan agenda kuffar untuk melenyapkan kuasa 2/3 dunia ini. Sadisnya, orang Islam sendiri yang menjadi dalang kejatuhan empayar agung ini iaitu Mustafa Kamal Attaturk. Lihat bagaimana ketegasan khalifah empayar Uthmaniyah terhadap zionis di video ini:


Faktor Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah

1) Kelemahan Pemerintah
2) Reformasi Sekular
3) Kelonggaran Ketenteraan
4) Penyelewengan Islam
5) Peranan kaum Yahudi dan Armenia
6) Campurtangan Kuasa Asing

*sumber: Kebangkitan dan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, Dr Ali Muhd As-Solabi

graf perjalanan empayar Islam

Kebangkitan Yang Kita Harapkan

Secara kira-kiranya, kejatuhan khilafah telah berlangsung selama 88 tahun. Dan umat yang ramai ini sedar tak sedar kita masih berdosa kerana mungkar terbesar(syariat Allah tak terlaksana di bumi) dengan erti kata lainnya khilafah belum tertegak. Namun, ketika dahulu empayar agung ini telah memerintah bumi ratusan tahun bahkan ribuan tahun pun. Dan kita kini baru sahaja 88 tahun menjadi anak yatim. 100 tahun pun belum sampai lagi. 

Saudara, yakinlah dengan kebangkitan Islam sepertimana yakinnya Rasulullah akan menakluk kota Parsi dan Rom ketika peristiwa pembelahan batu sewaktu perang Khandak. Allah juga menanam sifat optimis kebangkitan Islam dalam surah An-Nasr. Tokoh Islam, Syed Qutb telah menukilkan kata-kata dalam kitab beliau 'Hadza Deen' ;

(المستقبل لهذا الدين (سيد قطب
Masa depan adalah untuk agama ini(Islam)  -Syed Qutb-

Teringat saya akan zaman khilafah baru sahaja jatuh, Hasan Al-Banna melihat gelagat penuntut di Universiti Al-Azhar ketika itu. Ketika itu beliau masih muda dan sempat dengan khilafah masih ada dan tak ada. Beliau tidak puas hati melihat penuntut di universiti tersebut sambil meluahkannya di hadapan beberapa ulama’. Penuntut di Universiti Al-Azhar sebelum khilafah jatuh dan selepas khilafah jatuh, sama sahaja. Tak ada pun yang menampakkan kesungguhan untuk kembalikan semula khilafah. Tidak ada yang menunjukkan respon pun terhadap sejarah hitam umat Islam yang baru sahaja berlaku ketika itu.. Itu Al-Banna. Bagaimana pula dengan kita??

gambar hiasan

Brilliant Formula

Saya amat-amat tertarik dengan formula kebangkitan Islam yang telah di'highlight'kan oleh seorang da’i Islam yang agung, Syakib Arsalan ;

Di dalam sebuah risalahnya yang diterbitkan pada tahun 1931 dan disiarkan salinannya di dalam majalah al-Muslimun, beliau berkata kepada salah seorang warga Palestin: “Banyak surat-surat sampai kepadaku, sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu, Palestine. Penulis­-penulisnya mencadangkan supaya diadakan satu perhimpunan besar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab: “Kita wajib memulakan usaha ini dari bawah. Kita perlu mentarbiyyah individu.”

Seterusnya beliau berkata: “Apalah gunanya mengadakan perhimpunan yang mengumpulkan orang-orang yang lemah, yang tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan apa-apa keputusan atau resolusi. Apa faedahnya itu semua? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”
Ya! 
Inilah brilliant formula yang saya temui iaitu; Mulakan dari bawah dengan mentarbiyyah individu.
Related Posts with Thumbnails