Author: Ahmad
•7:06 PM


Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna dalam tulisan beliau di Risalah Taalim dalam bab Rukun Baiah Amal beliau menyusun tujuh maratib (turutan/susunan) amal seseorang al-akh as-sodiq:

1. Islah diri sehingga terbentuk 10 peribadi muslim
2. Membentuk baitul muslim
3. Irsyad Mujtama3 (bimbing masyarakat)
4. Tahrir al-Wathon (membebaskan tanah air dari setiap penguasa asing -non-Islam- baik secara politik, ekonomi, maupun moral)
5. Islah hukumah (memperbaiki keadaan pemerintah, sehingga menjadi pemerintah Islam yang baik)
6. Daulah Islamiah (mempersiapkan seluruh aset negeri di dunia ini untuk kemaslahatan umat Islam)
7. Ustaziatul Alam

Selepas turutan ke-7 ini, Imam Al-Banna menutup Rukun Baiah Amal dengan kata-katanya;
"Empat yang terakhir ini wajib ditegakkan oleh jamaah dan oleh setiap akh sebagai anggota dalam jamaah itu. Sungguh, betapa besarnya tanggung jawab ini dan betapa agungnya tujuan ini. Orang melihatnya sebagai khayalan, sedangkan seorang muslim melihatnya sebagai kenyataan. Kita tidak pernah putus asa meraihnya dan -bersama Allah- kita memiliki cita-cita luhur."

Apa yang menarik minat saya apabila menelaah risalah ini sambil membuat bacaan terhadap perkembangan politik negara, adalah rupa-rupanya Imam Asy-Syahid meletakkan turutan amal Tahrir al-Wathon (membebaskan tanah air dari setiap penguasa asing -non-Islam-) mendahului Islah Hukumah (memperbaiki keadaan pemerintah).

Iaitu mengutamakan membebaskan negara dari kuasa asing berbanding memperbaiki pemerintah (walaupun ia boleh berjalan seiringan). Maka sewajarnya keutamaan kita dalam usaha mencapai ustaziatul alam adalah menuruti turutan amal ini tanpa melengahkan turutan amal lain.

Mengutamakan yang utama bukanlah melupakan yang lain tetapi ia adalah melebihkan fokus agar tangga seterusnya lebih mudah untuk dicapai nantinya. Bayangkan seseorang yang tidak cuba melengkapkan dirinya dengan sepuluh muwasofat(sifat-sifat) muslim, betapa sukarnya dia untuk menuju tangga seterusnya iaitu Baitul Muslim, Irsyad Mujtama3 dan seterusnya.

Susunan amal ini tidaklah wajib fardhu tetapi ia suatu formula ijtihad yang disegarkan kembali oleh Al-Imam hasil kajian beliau terhadap sirah Ar-Rasul dan khazanah fiqh Islam dahulu kala yang mesti direnungi kembali oleh para du'at khususnya buat mereka yang menapaki manhaj IHAB.

Dalam syarah Arkanul Baiah oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, beliau menjelaskan lagi kekuasaan atau dominasi asing kepada dominasi agama, budaya, sastera, sosial, ekonomi dan politik. Beliau menyimpulkan "Setiap bentuk kekuasaan ini mempunyai pengaruh yang buruk terhadap negeri Islam serta mempunyai pengaruh juga terhadap gerakan Islam."

Dengan makna, apabila para du'at tidak mengambil ihtimam (penting) maratib amal ke-4 ini, maka ia bukan sahaja memberi kesan kepada negara bahkan juga kepada gerakan-gerakan Islam di negara tersebut. Boleh jadi usaha-usaha untuk tangga-tangga seterusnya makin sukar dan membantutkan lagi perjalanan menuju ustaziatul alam.

Yang terdekat ini, adalah perjanjian TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) yang menjejaskan ekonomi negara dengan kemasukan kuasa asing (Amerika) tanpa kawalan. Kita tiada pilihan melainkan mengerah seluruh tenaga dan usaha memastikan tangga maratib amal ini benar-benar selamat untuk ditapaki menuju ke tangga-tangga amal seterusnya.

Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 105;
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۖ
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.."

Wallahua3lam
Author: Ahmad
•11:18 PM



Berlalunya hari-hari hidup kita sedar tidak sedar jutaan artikel sudah kita baca. Kiraan itu akan meningkat dengan meningkatnya umur kita. Tanpa kita sedari, dalam jutaan itu berapa banyakkah artikel-artikel dari Tuhan yang telah kita baca?

Puluhan novel telah dihayati adegannya, ratusan buku ilmiah telah dibeleknya, ribuan artikel telah dijenguknya, oh rupanya berapa kali sahaja Kalam Tuhan telah ditadabburinya?
Bayangkan kita berada di majlis pelancaran sesebuah novel atau buku kegemaran kita. Penulisnya turut hadir merasmikan dan melancarkan karyanya. Tentunya hati kita berbunga-bunga mahu berjumpa dengannya dan menuturkan kalam-kalam yang jujurnya telah tersusun rapi seni bahasanya selama ini.

Ya, anda sudah berjaya menangkap apa yang saya maksudkan. Ramadhan adalah majlis pelancaran Al-Quran. Allah mengikat bulan Ramadhan dengan Al-Quran dalam ayatNya;


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [Al-Baqarah : 185]

Ibn Kathir menyebut dalam Tafsirnya bahawa Allah memuji bulan puasa (Ramadhan) daripada banyak-banyak bulan kerana Dia memilihnya bulan diturunkan Al-Quran begitu juga diturunkan kitab-kitab Samawi Zabur, Taurat & Injil pada bulan suci ini. Tentunya sangat signifikan bilamana artikel Tuhan dilancarkan pada bulan ini. Apakah signifikannya?

Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, penulis menggariskan signifikannya bahawa Al-Quran inilah yang mengeluarkan mereka dari kegelapan kesesatan kepada nur hidayah, menukarkan keadaan mereka dari ketakutan kepada keamanan, memberi kepada mereka kedudukan yang kuat di muka bumi, juga memberi mereka asas-asas yang dapat menjadikan mereka satu umat sedangkan dahulunya mereka tidak menjadi apa-apa. Tanpa asas-asas ini mereka tidak dapat menjadi satu umat, juga tidak mempunyai tempat di muka bumi ini dan tidak disebut-sebut di langit.

Tidakkah mereka berasa mulia berbanding umat lain dengan adanya Al-Quran di sisi mereka?
Ramadhan hadir acapkali menjentik ingatan kita terhadap Al-Quran yang diturunkan padanya bukan kebetulan tetapi dengan misi dan visi yang agung.

Bagaimana kita memahami Al-Quran

Dari awal kita fahami bahawa sirah Ar-Rasul adalah tatbiq (pelaksanaan) daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Maka watak-watak di dalam sirah dan bagaimana mereka memahami Al-Quran adalah jalan paling tepat untuk kita ikuti.

Dalam Maalim Fit Tariq, Asy-Syahid Sayyid Qutb menegaskan bahawa ayat-ayat Al-Quran zaman Mekah telah diturunkan kepada Rasulullah SAW di dalam tempoh tiga belas tahun, dengan mengemukakan satu persoalan sahaja yang tidak berubah-ubah iaitu persoalan aqidah  yang diterapkan di atas tapaknya yang terpenting KETUHANAN dan PENGABDIAN serta pertalian antara keduanya.

Beliau menyimpulkan “Al-Quran zaman Mekah tidak melangkau persoalan pokok ini untuk mengemukakan persoalan-persoalan lain mengenai sistem kehidupan, melainkan setelah Allah mengetahui bahawa persoalan itu sudah diterangkan dengan secukupnya bahawa ianya telah sebati dan menjadi daging darah golongan umat yang terpilih itu, yang telah ditakdirkan Allah bahawa agama Islam ini akan dibangunkan melalui golongan ini, dan golongan inilah yang mengendalikan pelaksanaan sistem yang mencerminkan agama ini.”

Maka seharusnya cara untuk kita memahami Al-Quran adalah dengan bagaimana para sahabat memahaminya ketika ia turun. Iaitu memfokuskan fahaman kita pada persoalan aqidah dengan mengerti bahawa pengakuan bertuhan (LA ILAAHA ILLALLAH) itu membawa makna pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah yang tertinggi.

Mereka memahami juga bahawa mengesakan Allah melalui ikrar kalimah syahadat itu adalah bererti mencabut semua sekali kuasa yang dibolot oleh para paderi dan pendeta, oleh ketua-ketua suku, oleh raja-raja dan penguasa-penguasa, dan menyerahkan kuasa itu hanya kepada Allah sahaja.
Persoalan yang berputar di zaman Mekah ini tidak pun melangkau kepada persoalan sistem negara, sosial, urusan muamalah dan sebagainya kerana apabila sesebuah umat itu telah teguh berpegang kepada asas, maka cabangnya akan lebih mudah bagi mereka untuk memahami dan melaksanakannya. Inilah yang sepatutnya menjadi bahan renungan secara serius oleh para pendakwah ke arah agama ini.

Mudahnya, gunakanlah sifir hamba. Bilamana hamba itu bersetuju dengan kontrak yang diberi majikannya, maka dia juga bersedia dengan apa sahaja arahan yang diturunkan ke atasnya. Itulah kita seorang hamba kepada Al-Khalik yang sewajibnya bersetuju dengan kandungan Al-Quran dan bersiap siaga untuk melaksanakan arahan-Nya di segenap sudut kehidupan.

Realiti hari ini

Hari ini kita terdengar di corong-corong radio, di portal-portal berita sebahagian manusia yang beriman dengan mudah mempersoalkan mengenai hukum Allah, undang-undang syariah dan sebagainya. Padahal manusia yang beriman di awal fasa kenabian dahulu kala tidak pun mempersoalkan mengenai ini bahkan Allah mentaujih mereka tidak melebihi dari persoalan aqidah dan manhaj. Berbekalkan ruh aqidah tiga belas tahun di Mekah membuktikan mereka adalah kurun yang terbaik sepanjang zaman.

Adakah manusia beriman zaman kini terdesak memerlukan penerangan dan penjelasan tentang sistem Islam, undang-undang syariah sebelum mereka memahami hakikat persoalan aqidah dan Al-Quran itu sendiri?

Asy-Syahid menjawab persoalan ini dalam Maalim Fit Tariq;
“Orang-orang zaman sekarang yang mendesak supaya Islam mengemukakan teori-teori mengenai sistem perundangan yang lengkap, supaya Islam membentuk dasar-dasar penyelesaian masalah-masalah yang mungkin timbul; sedangkan di bumi ini tiada lagi sebuah masyarakat yang telah memutuskan untuk patuh kepada perintah Allah dan menolak sebarang peraturan dan undang-undang selain dari syariat Allah, sedang mereka mempunyai kuasa untuk melaksanakannya; orang- orang seperti itu, yang mendesak dan mencabar Islam berbuat demikian, adalah sebenarnya orang-orang yang tidak faham hakikat Islam dan bagaimana Islam itu bergerak di dalam hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah.

Orang-orang seperti itu adalah orang-orang yang hendak mengubah tabiat, program dan sejarah agama ini; orang-orang yang hendak mengubah bentuk sejarah Islam supaya Islam ini sama setaraf dengan teori-teori bikinan manusia, sebaya dengan program ciptaan manusia.”

Nah, rupa-rupanya kita tenggelam dalam soal sistem hidup, keadilan sosial, urusan muamalah sambil menutup rapi hakikat agama ini iaitu meletakkan segala kekuasaan kepada Pencipta dan menolak selainnya. Bilamana akidah LA ILAAHA ILLALLAH itu meresap di lubuk hati, nescaya akan meresap pulalah peraturan-peraturan yang dibawa oleh LA ILAAHA ILLALLAH itu dan jiwa itu rela menyerah kepada sistem itu walaupun tanpa huraian yang lanjut tentang sistem-sistem dan perundangan yang lain.


Maka selayaknya untuk kita hadirkan artikel dari Tuhan ini ke dalam hati kita sebagaimana ianya juga turun beransur-ansur ke dalam hati generasi awal sahabat bermula dengan hakikat aqidah dan manhaj. Beleklah Al-Quran dengan niat untuk memahami dan melaksanakan bukan dengan sekadar menambah bank pahala yang entah bila pasang surutnya.
Related Posts with Thumbnails