Author: Ahmad
•5:25 AM
the only way

Hari ini genap setahun kerajaan Mesir yang sah bertukar kepada kerajaan haram. Sayu hati mengenang ketika malam Presiden Morsi dikudeta oleh tentera. Malam itu Mesir hingar bingar dengan letupan mercun, hon kereta juga sorakan manusia. Hari ini ayat 140 surah Ali Imran berputar di minda saya;

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ
شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari Kami gilirkan dia antara sesama manusia, dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman, dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim."

Syed Qutb merakamkan dalam Tafsir Fi Zilal Quran bahawa ketika kekalahan tentera Islam di perang Uhud, mereka tertanta-tanya “Bagaimana ini? Bagaimana ini boleh berlaku pada diri kita padahal kita adalah orang-orang muslim?” Di sini, Al-Quran mengembalikan kaum muslimin kepada sunnah Allah atas alam semesta, mengembalikan mereka kepada prinsip-prinsip yang berlaku pada semua urusan. Maka, mereka bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan.

Rupanya Allah pergilirkan peristiwa jatuh bangkit umat untuk menapis antara yang tetap beriman dan sebaliknya. Dan juga mengambil sebahagiannya sebagai syahid. Ya, makin jelas dengan peristiwa kudeta Mesir kali ini. Andai ini bukan sunnah jalan dakwah, masakan Allah menerbitkan ayat ini di dalam Al-Quran?

Kalau orang lain persoalkan kelemahan gerabak dakwah ini yang menyebabkan ia terkadang jatuh, saya persoalkan juga isu tsabatnya penumpang gerabak ini. Namun kelemahan itu wajarlah dievaluasi agar mukmin tidak tersungkur di lubang yang sama dua kali.

Tetapi persoalan yang lebih utama ialah adakah pendokong dakwah ini bersedia untuk menghadapi mehnah mendatang dengan sepenuh hatinya dan tsabat hingga ke akhirnya. Yakinkah du’at pada dakwah ini ketika ia jatuh sepertimana yakinnya pada waktu ia gemilang? Cukup sempitkah dada para du'at untuk mengisi mehnah-mehnah ke dalam ruang hatinya?


Jika di situ terdapat 1001 jalan untuk mendapat kemenangan (walaupun dengan cara halal atau haram), namun jalan untuk tsabat tidak semudah pilihan 1001. Nisbahnya mungkin 1 dalam 1001. Lantaran isu tsabat ini hanya Allah yang tahu dan Dia lah yang mentsabatkan dan menggugurkan du’at tanpa kita boleh menjangkakan pun. Ia hak mutlak Pencipta dakwah.

those who make peaceful revolution impossible,
will make violent revolution inevitable

Syeikh Mustafa Masyhur menjelaskan dalam Toriq Dakwah;

Ada orang menggambarkan bahawa dengan sedikit berpolitik, diplomasi dan menggunakan
kecerdikan dan perlaksanaan yang baik dapat mengelakkan ujian dan bencana dari menimpa para pendokong dakwah dan memimpin para pendokong dakwah serta menjauhkan mereka dari bencana dan siksaan yang sangat dahsyat dari musuh-musuh Allah dan dari terus menimpa mereka atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan dan memendekkan masanya.  

Segala bentuk toleransi sedemikian pada hakikatnya menyelewengkan dakwah dari jalan yang diredhai Allah di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah berjalan di atasnya. Kita wajib berjalan di atasnya mengikuti Rasulullah s.a.w. yang menjadi sebaik-baik tauladan. 

Para pemimpin dan para pendokong dakwah harus mengetahui bahawa jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bungaan yang harum. Mereka mesti menguatkan azamnya untuk sabar dan mempertahankan akidah mereka.

Boleh sahaja du’at nak mengelak ujian atau cabaran yang mereka hadapi dengan sedikit diplomasi dan helah tetapi itulah yang akan menyelewengkan mereka dari atas jalan dakwah. Sedar tak sedar rupanya kemenangan yang terhasil dari sedikit mainan (helah, diplomasi etc) itu tidak kekal lama, terseleweng dari hadaf dakwah yang asal dan hilang keberkahannya.. Salah satunya mungkin tidak ramai yang mampu tsabat seperti sebelumnya. Anda sendiri mampu mencongaknya.

Itulah kemenangan murah yang saya maksudkan. Otak tak penat berfikir, badan tak lelah bekerja, mata tak kuyu lantaran cukup tidur, harta tak luak kerana sedikit sahaja yang disumbangkan, maka dapatlah النصر الرخيص (Kemenangan yang murah).

Saya simpulkan dengan kata-kata syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, penulis silsilah fiqh dakwah antaranya Al-Muntalaq;

لا بد من فدية.. لا بد من بلاء .. لا بد من امتحان؛ لأن النصرَ الرخيص لا يبقى؛ لأنَّ النصرَ السهلَ لا يعيش؛ لأن الدعوة الهينة يتبناها كل ضعيف، أما الدعوة العفية الصعبة فلا يتبناها إلا الأقوياء ولا يقدر عليها إلا الأشداء.
Tidak boleh tidak mesti dengan bayaran… Mesti dengan bala/azab… Mesti dengan ujian, kerana kemenangan yang murah takkan kekal, kemenangan yang mudah takkan hidup, sesungguhnya dakwah yang remeh terbina dengan segala kelemahan, dakwah yang kuat dan sukar pula takkan terbina melainkan mereka-mereka yang kuat dan tidak mampu ke atasnya melainkan mereka-mereka yang benar-benar tekad.

Related Posts with Thumbnails