Author: Ahmad
•10:09 AM

Assaalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar saudara? Semoga sihat belaka.

Bagi yang cakna, baru-baru ni banyak isu yang berlaku sekitar dunia Islam. Antaranya isu Rohingya, Mesir, Palestin, Syria dan sebagainya. Kali ini saya mahu berkongsi pasal Mesir yang baru sahaja menerima presiden terbaru mereka iaitu Dr Muhammad Mursi dari parti FJP yang dikendalikan oleh jemaah Ikhwanul Muslimin. Saya bukanlah yang paling layak untuk berbicara perkara ini. Saya hanyalah pemerhati jauh dari Malaysia dan insyaAllah bakal ke sana suatu hari nanti.

Tercetus di tahrir


Sepertimana kita tahu, Dr Mursi adalah satu-satunya presiden yang dipilih bukan dari golongan tentera sepertimana Hosni Mubarak, Anwar Sadat dan yang lainnya. Ia adalah pilihan rakyat secara telus dan tidak dimonopoli oleh kuasa tentera. Ini berkesinambungan dengan tsaurah(revolusi) di medan tahrir yang dicetuskan rakyat. Bagi saya, IM sebenarnya memikirkan siapa yang mahu menyambut revolusi rakyat di tahrir saban hari kerana revolusi tersebut bukanlah dari IM tetapi ia dari seluruh rakyat yang mahukan keadilan ke atas Mesir.

Setelah revolusi tahrir berjaya dengan turunnya kuasa Mubarak, rakyat tiada pemimpin yang betul-betul mahu melaksanakan inspirasi mereka. Siapa lagi yang mahu menyambut revolusi rakyat ini? Seandainya golongan fulul(saki baki Mubarak) atau liberal yang menyambut revolusi ini, tentu revolusi tersebut rugi dan sia-sia. Dengan itu, IM tampil di tengah-tengah umat Mesir ketika itu untuk memimpin rakyat menghalang kuasa kelompok liberal dan lainnya dari menguasai Mesir. IM mahu menyelamatkan demokrasi Mesir dari kelompok fulul. Dengan itu, IM mencalonkan presiden dari parti mereka.

Kemenangan yang mengakar


Sebenarnya, kemenangan di Mesir bukanlah 100% dari IM sendiri bahkan dari seluruh pejuang Islam di Mesir sendiri yang terdiri dari golongan ulama, salafi, dan lainnya. Cumanya, bagaimana presiden Mesir sendiri dipilih dari golongan IM? Ini tidak lain tidak bukan adalah kepercayaan rakyat sendiri terhadap perjuangan IM. Setelah 84 tahun IM ditubuhkan sejak 1928 yang diasaskan oleh Imam Hasan Al Banna, kemenangan harini sebenarnya mengakar 84 tahun dahulu. Bukan perjuangan yang sekejap dan terburu-buru.


Dapat kita fahami bahawa Al Banna telah meletakkan marhalah dalam pembinaan umat iaitu dari individu muslim, keluarga muslim, masyarakat Islam, negara Islam dan seterusnya sehingga ke ustaziatul alam. Pada harini, mereka(IM) telah menuai apa yang mereka tanam. Sudah bertahun lamanya dan berlalunya beberapa generasi. Ada yang dipenjara, digantung, dibunuh, disumbat bersama anjing di dalam bilik tahanan, diseksa dan sebagainya. Memang layak kemenangan tersebut dipimpin oleh mereka.


Namun, tuaian tersebut bukanlah sekali sahaja bahkan tuaian itu sentiasa berulang-ulang dengan tanaman yang berlainan. Tuaian itu subjektif. Bukanlah yang mahu dituai oleh IM itu hanya menguasai kerajaan Mesir semata-mata, bahkan matlamat IM jauh dan luas daripada itu. Andainya tidak dapat kuasa presiden pun, dakwah IM terus berjalan kerana apa yang mereka tanam dalam hati manusia bukanlah untuk kuasai kerajaan semata-mata tetapi Islam itu sendiri. Islam itu yang ditanam. Jika jawatan, pangkat, kepimpinan itu datang, itu adalah bonus dan hadiah dari Allah. Yang dibina ialah rijal bukan sekadar agamawan, jaguh kebajikan, negarawan, tokoh kemasyarakatan, tokoh perdebatan dan sebagainya.
Benarlah kata-kata syeikh Fathi Yakan dalam kitabnya, Maaza Ya'ni Intimai Lil Islaam:
"Mereka tidak akan patah di tengah jalan dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai hasil sebelum sampai masanya. Ini tidak akan berlaku kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam itu adalah merupakan satu wasilah dalam usaha-usaha untuk mencapai matlamat. Sekiranya kerajaan Islam itu dapat dilaksanakan di tangan mereka, mereka akan bersyukur pada Allah. Andainya tidak, mereka tidak akan berputus asa , tidak merasa kecewa, tidak tidak surut ke belakang dan tidak akan merasa takut." 


Saat kemenangan Dr Mursi sebagai presiden Mesir, terlintas di fikiran saya surah An-Nasr. Surah yang sangat bertepatan dengan kemenangan rakyat Mesir ini.

Ole-ole untuk Malaysia

Kini, dunia Islam tak perlulah lagi mencontohi kejayaan revolusi Iran dan sebagainya yang tidak bersih keseluruhannya kerana mungkin ada unsur syiah, sekutu amerika etc.. Kita ada revolusi Mesir. Sebagai umat di Malaysia, apa yang boleh kita contohi?

1) Tadarruj
Apa yang kita boleh contohi ialah tadarruj(beransur-ansur/bertahap) dalam dakwah dan tarbiyah. Tidak boleh petik buah sebelum masak. Allah mahu tangguh kemenangan kita kerana kita belum cukup kekuatan dan belum bersedia untuk menghadapi kemenangan itu.

Jika merujuk kepada IM di Mesir, tahap mereka sehinggakan dipenjara, diseksa, dibunuh dan sebagainya. Amat jauh beza dengan Malaysia. Jika IM mengambil masa 84 tahun, Malaysia pula berapa lama? Andainya perjuangan mereka sehingga ke tahap itu, kita di Malaysia sebenarnya belum layak mendapat kemenangan dengan gaya kita yang senang lenang ni. Jika nak dibandingkan dengan zaman sahabat, debu di kaki kuda para sahabat itu lagi mulia dari usaha kita yang tak seberapa ini.

2) Pemerintah lahir daripada umat. Bukan pemerintah melahirkan umat.

Jika dilihat pada revolusi Mesir, rakyat sendiri yang beri komitmen terhadap Islam hasil pendidikan universiti al-Azhar dan pejuang Islam di bumi Mesir sana. Lihat sahaja pada rakyat yang berhimpun di tahrir. Solat tidak tinggal bahkan berjemaah lagi di tengah-tengah medan tahrir tu. Selepas revolusi, mereka beramai-ramai gotong royong membersihkan medan tahrir. Masjid mereka penuh dengan pemuda-pemuda. Dan banyak lagi contoh yang menunjukkan komitmen rakyat Mesir pada Islam. Pelajar Malaysia di sana tentu lebih mengenali rakyatnya. Jika umat itu sendiri baik, tentu pemimpin yang lahir juga akan baik. Jika pemimpin itu baik, belum tentu umat juga baik. Sebab itu Al Banna letak individu muslim yang pertama dalam maratib amal.

Kemenangan Palestin juga semakin hampir lantaran kemenangan Dr Mursi sebagai presiden Mesir insyaAllah. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam usaha untuk mengembalikan umat pada Islam. Bantulah saya yang amat dhaif ini dalam perjuangan dan sama-samalah kita saling membantu dan menasihati. Kemenangan mungkin bukan pada generasi kita, tapi pada generasi anak cucu kita nanti. 
Wallahua'lam.
This entry was posted on 10:09 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails