Author: Ahmad
•7:06 PM


Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna dalam tulisan beliau di Risalah Taalim dalam bab Rukun Baiah Amal beliau menyusun tujuh maratib (turutan/susunan) amal seseorang al-akh as-sodiq:

1. Islah diri sehingga terbentuk 10 peribadi muslim
2. Membentuk baitul muslim
3. Irsyad Mujtama3 (bimbing masyarakat)
4. Tahrir al-Wathon (membebaskan tanah air dari setiap penguasa asing -non-Islam- baik secara politik, ekonomi, maupun moral)
5. Islah hukumah (memperbaiki keadaan pemerintah, sehingga menjadi pemerintah Islam yang baik)
6. Daulah Islamiah (mempersiapkan seluruh aset negeri di dunia ini untuk kemaslahatan umat Islam)
7. Ustaziatul Alam

Selepas turutan ke-7 ini, Imam Al-Banna menutup Rukun Baiah Amal dengan kata-katanya;
"Empat yang terakhir ini wajib ditegakkan oleh jamaah dan oleh setiap akh sebagai anggota dalam jamaah itu. Sungguh, betapa besarnya tanggung jawab ini dan betapa agungnya tujuan ini. Orang melihatnya sebagai khayalan, sedangkan seorang muslim melihatnya sebagai kenyataan. Kita tidak pernah putus asa meraihnya dan -bersama Allah- kita memiliki cita-cita luhur."

Apa yang menarik minat saya apabila menelaah risalah ini sambil membuat bacaan terhadap perkembangan politik negara, adalah rupa-rupanya Imam Asy-Syahid meletakkan turutan amal Tahrir al-Wathon (membebaskan tanah air dari setiap penguasa asing -non-Islam-) mendahului Islah Hukumah (memperbaiki keadaan pemerintah).

Iaitu mengutamakan membebaskan negara dari kuasa asing berbanding memperbaiki pemerintah (walaupun ia boleh berjalan seiringan). Maka sewajarnya keutamaan kita dalam usaha mencapai ustaziatul alam adalah menuruti turutan amal ini tanpa melengahkan turutan amal lain.

Mengutamakan yang utama bukanlah melupakan yang lain tetapi ia adalah melebihkan fokus agar tangga seterusnya lebih mudah untuk dicapai nantinya. Bayangkan seseorang yang tidak cuba melengkapkan dirinya dengan sepuluh muwasofat(sifat-sifat) muslim, betapa sukarnya dia untuk menuju tangga seterusnya iaitu Baitul Muslim, Irsyad Mujtama3 dan seterusnya.

Susunan amal ini tidaklah wajib fardhu tetapi ia suatu formula ijtihad yang disegarkan kembali oleh Al-Imam hasil kajian beliau terhadap sirah Ar-Rasul dan khazanah fiqh Islam dahulu kala yang mesti direnungi kembali oleh para du'at khususnya buat mereka yang menapaki manhaj IHAB.

Dalam syarah Arkanul Baiah oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, beliau menjelaskan lagi kekuasaan atau dominasi asing kepada dominasi agama, budaya, sastera, sosial, ekonomi dan politik. Beliau menyimpulkan "Setiap bentuk kekuasaan ini mempunyai pengaruh yang buruk terhadap negeri Islam serta mempunyai pengaruh juga terhadap gerakan Islam."

Dengan makna, apabila para du'at tidak mengambil ihtimam (penting) maratib amal ke-4 ini, maka ia bukan sahaja memberi kesan kepada negara bahkan juga kepada gerakan-gerakan Islam di negara tersebut. Boleh jadi usaha-usaha untuk tangga-tangga seterusnya makin sukar dan membantutkan lagi perjalanan menuju ustaziatul alam.

Yang terdekat ini, adalah perjanjian TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) yang menjejaskan ekonomi negara dengan kemasukan kuasa asing (Amerika) tanpa kawalan. Kita tiada pilihan melainkan mengerah seluruh tenaga dan usaha memastikan tangga maratib amal ini benar-benar selamat untuk ditapaki menuju ke tangga-tangga amal seterusnya.

Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 105;
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۖ
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.."

Wallahua3lam
This entry was posted on 7:06 PM and is filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

2 comments:

On December 14, 2015 at 4:03 AM , BoY said...

artikelya menarik,,
mantap,salam sukses gan,,

 
On October 29, 2016 at 9:20 AM , Siti Mashita said...

Good works ><.

 
Related Posts with Thumbnails